BOB kuat untuk lima lagi anak-anak yang masih kecil. FOTO Khairul Azhar Ahmad
BOB kuat untuk lima lagi anak-anak yang masih kecil. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Ridzuan Abdul Rahman


PENULIS lirik dan pelakon, Bob Lokman kini terpaksa berdikari selepas kematian anak sulungnya, Mohamad Adam, 25, pada Oktober tahun lalu.

Bob, 55, atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman berkata, dia kini terpaksa memandu sendiri untuk keluar ke mana-mana.

“Pada mulanya saya memang kekok kerana selalunya Adam akan menemani saya ke mana-mana. Dialah yang akan hidupkan enjin kereta dan memandu untuk saya.

"Apabila dia tiada, saya kena buat sendiri semuanya. Saya perlu kuat untuk lima lagi anak-anak yang masih kecil," katanya.

Bob berkata, dia sunyi apabila Adam tiada kerana hubungan mereka rapat seperti seorang kawan.

"Saya rasa seperti kehilangan seorang kawan baik. Ketika hayatnya Mohamad Adam seorang anak yang baik. Dia adalah tulang belakang keluarga dengan membantu saya menguruskan perniagaan. Dia juga banyak membantu dan menjaga saya ketika dimasukkan ke hospital," katanya.

Adam meninggal dunia pada jam 1 pagi 5 Oktober tahun lalu selepas pengsan di rumah mereka di Sungai Buloh.

Allahyarham mempunyai sejarah ketumbuhan dalam otak dan pernah beberapa kali pengsan.

Rentetan kematian anaknya, Bob yang mengusahakan perniagaan kedai makan di di TTDI Jaya, Shah Alam, terpaksa berehat seketika sebelum kembali beroperasi baru-baru ini.

"Saya masak sendiri menu jualan kedai saya dan dibantu oleh anak-anak serta pekerja. Alhamdulillah, walaupun tak sehebat perniagaan orang lain, saya tetap mampu cari rezeki untuk keluarga. Terima kasih buat rakan-rakan yang hadir memberikan sokongan,” katanya.

Ditanya berkenaan keadaan kesihatan terkininya, Bob yang menghidap penyakit jantung, paru-paru dan kencing manis masih menerima rawatan berterusan.

"Kesihatan saya boleh dikatakan stabil sekarang. Bolehlah untuk saya bekerja kerana nak sihat sepenuhnya memang mustahil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 4:56 PM