Syazwan Msar


USIANYA baru saja lapan tahun, namun seorang murid tahun dua sudah pandai mengendalikan peralatan untuk menukar tayar kenderaan berat dengan hanya melihat ayahnya berbuat demikian.

Mohd Arif Arian Nor Azli mempunyai minat berbeza dengan kanak-kanak seusianya apabila lebih berminat untuk ‘bermain’ bersama jentera berat seperti lori dan treler apabila berkelapangan.

Malah, kebolehan membantu ayahnya, Nor Azli Keriye, 45, yang bekerja sebagai mekanik kenderaan berat menukar tayar treler di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) berhampiran Saujana Putra, Kuala Lumpur, tular di media sosial hingga mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Nor Azli yang berasal dari Pandamaran, Klang berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu sering mengikutnya membaiki atau menarik kenderaan berat yang mengalami kerosakan di jalan raya.

“Apabila ada pemandu lori atau treler menghubungi saya untuk membaiki atau menarik kenderaan mereka, pasti Mohd Arif Arian akan bertanya seterusnya mahu mengikut ke lokasi berkenaan.

“Saya tidak pernah memaksa dia untuk ikut atau mengajarnya, namun kerana minat, dia hanya memerhati saja sebelum cuba meniru saya membaiki kenderaan berat,” katanya ketika dihubungi.

Nor Azli berkata, dia sentiasa pastikan keselamatan anaknya itu terutama tidak membenarkan dia mengendalikan peralatan berat atau bermain di lebuh raya.

“Jika diikutkan sebenarnya video yang tular itu bukanlah dia menukar tayar treler, sebaliknya cuma membantu membuka skru sub tayar saja dan selebihnya saya lakukan.

“Ada perkara saya benarkan dia buat, namun melihat kepada kemampuannya kerana dia masih kecil. Saya tidak mahu perkara tidak diingini berlaku nanti,” katanya.

Menurutnya, dia menyedari video anaknya tular selepas dimaklumkan oleh saudara dan rakan, namun tidak menyangka mendapat banyak perkongsian daripada netizen.

“Ada komen negatif daripada netizen yang mengatakan saya sengaja membiarkan anak melakukan perkara bahaya dengan menukar tayar treler, namun hakikatnya dia hanya membuka skru sub tayar saja.

“Pada masa sama, Mohd Arif masih bersekolah, cuma ketika dia membantu saya itu adalah pada waktu cuti hujung minggu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 10:48 PM
 GAMBAR tular di media sosial apabila Mohd Arif Arian membantu ayahnya menukar tayar treler di Lebuh Raya Kesas berhampiran Saujana Putra, Kuala Lumpur, baru-baru ini. FOTO ihsan pembaca. baru-baru ini.
GAMBAR tular di media sosial apabila Mohd Arif Arian membantu ayahnya menukar tayar treler di Lebuh Raya Kesas berhampiran Saujana Putra, Kuala Lumpur, baru-baru ini. FOTO ihsan pembaca. baru-baru ini.