Tayar lori trailer yang sempat dibuka oleh Lai Wen Zhong sebelum dilanggar.FOTO IHSAN BOMBA
Tayar lori trailer yang sempat dibuka oleh Lai Wen Zhong sebelum dilanggar.FOTO IHSAN BOMBA
Adnan Ibrahim


SEORANG mekanik maut dilanggar sebuah treler ketika menukar tayar sebuah treler lain di Kilometer 84.9 Lebuhraya PLUS arah utara dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, Lai Wen Zhong, 23, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Katanya, terdahulu sebuah treler yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 41 tahun mengalami masalah pada tayar belakang sebelah kanan.

Katanya, berikutan itu lelaki berkenaan menghubunginya mekanik untuk membuka tayar berkenaan dan menggantikannya dengan tayar baharu.

“Ketika mangsa membuka tayar yang rosak itu, datang sebuah treler lain dipandu seorang lelaki berusia 52 tahun dari arah belakang dan melanggarnya.

“Mangsa terperosok ke bawah treler berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan tiba kemudian,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Menurut Azhan, mayat dirujuk ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

#kw mekanik, treler, tayar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 2:36 PM