WANITA malang, Miria yang cedera akibat bencana lumpur bergerak dirawat sukarelawan Mercy Malaysia, Doktor Jefri Irwan Haris di Desa Lolo, Sigi di sini, semalam. FOTO NSTP
WANITA malang, Miria yang cedera akibat bencana lumpur bergerak dirawat sukarelawan Mercy Malaysia, Doktor Jefri Irwan Haris di Desa Lolo, Sigi di sini, semalam. FOTO NSTP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


AIR matanya mengalir perlahan sambil suara tersekat di kerongkong. Dalam keadaan bibir, tangan dan kakinya luka, wanita warga emas ini cuba berkongsi pengalaman ngeri dilalui kepada doktor Mercy Malaysia bertugas.

Wanita warga emas memperkenalkan diri sebagai Ibu Miria, 62, adalah antara ratusan mangsa yang terselamat dalam kejadian lumpur hitam menenggelamkan perkampungan di Petobo di Palu, sejurus gempa bumi berlaku 28 September lalu.

Menurutnya, ketika kejadian dia berjaya merangkak keluar dari celah runtuhan rumahnya yang ditimbus lumpur hitam setinggi lebih lima meter.

SUKARELAWAN Mercy Malaysia menyampaikan sumbangan makanan kepada mangsa gempa bumi di Desa Silae, Palu. FOTO NSTP
SUKARELAWAN Mercy Malaysia menyampaikan sumbangan makanan kepada mangsa gempa bumi di Desa Silae, Palu. FOTO NSTP

Suaminya bagaimanapun gagal menyelamatkan diri dan disedut lumpur likat yang menenggelamkan kampung seluar 44 ekar itu. Mayat suaminya masih gagal ditemui sehingga kini.

Namun sebelum hilang ditelan bumi, suaminya itu sempat berpesan supaya segera membawa lari cucu mereka mendapatkan rawatan.

Ketua pasukan misi Mercy Malaysia ke sini, Norazam Abu Samah berkata, penderitaan wanita warga emas itu cukup meruntun jiwa sukarelawan dan doktor petugas Mercy Malaysia yang menjalankan khidmat bakti di sini.

Menurutnya, wanita terbabit yang menetap di Desa Petobo ini datang ke klinik bergerak Mercy Malaysia untuk mendapatkan rawatan kecederaan dialaminya sebelum ini.

Beliau berkata, misi kemanusiaan Mercy Malaysia itu membabitkan 13 sukarelawan dan sembilan doktor yang memulakan program fasa kecemasan selama dua minggu bermula 1 Oktober sehingga 14 Oktober hadapan.

Rawatan perubatan diberikan doktor Mercy Malaysia kepada mangsa yang berlindungi di khemah sementara di Palu. FOTO NSTP
Rawatan perubatan diberikan doktor Mercy Malaysia kepada mangsa yang berlindungi di khemah sementara di Palu. FOTO NSTP

"Bantuan diberikan kami membabitkan klinik bergerak, pengagihan set makanan untuk 300 keluarga, 300 set alatan penjagaan kebersihan dan 300 set khemah perlindungan.

"Kami dapati kebanyakan pesakit yang dirawat mengalami kecederaan akibat kesan gempa bumi, tsunami dan fenomena likuifaksi (lumpur bergerak). Ia membabitkan kecederaan patah tangan dan kaki, luka akibat dihempas gelombang tsunami dan disedut lumpur," katanya.

Azam berkata, pihaknya kini akan memasuki fasa pemulihan dan merancang untuk membangunkan rumah transit bagi masyarakat setempat sementara menunggu rumah baru dibina semula oleh pemerintah Indonesia.

"Kami benar-benar serius untuk membantu mangsa bencana di sini. Setakat ini sumbangan berterusan diberikan antaranya bekalan makanan kepada mangsa di Desa Silae, Palu, khemah perlindungan kepada mangsa di Donggala dan rawatan kesihatan kepada ribuan pesakit di pusat-pusat pemindahan sementara," katanya kepada wartawan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 11:21 AM