KENDERAAN terbiar yang diparkir di kiri dan kanan Jalan Sri Permaisuri 1, Cheras mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya. FOTO NSTP
KENDERAAN terbiar yang diparkir di kiri dan kanan Jalan Sri Permaisuri 1, Cheras mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya. FOTO NSTP
Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Sikap pemilik meletakkan kenderaan terbiar di laluan kiri dan kanan Jalan Sri Permaisuri 1, Cheras di sini, mengundang masalah kesesakan lalu lintas selain membahayakan pengguna jalan raya.

Pengguna jalan raya yang melalui kawasan terbabit terhalang apabila ada kenderaan diletakkan di tepi jalan sehingga menyebabkan laluan berkenaan menjadi sempit.

Tinjauan Harian Metro mendapati ada lapan kenderaan terbiar ditinggalkan pemilik di sekitar laluan terbabit.

Kenderaan berkenaan dipercayai lama dibiarkan di kawasan itu berikutan keadaannya usang dan berhabuk.

Malah, ada antara kenderaan berkenaan didapati mengalami kerosakan, antaranya cermin pecah dan tayar pancit.

Selain itu, beberapa notis saman pihak berkuasa tempatan (PBT) diselitkan di bahagian cermin hadapan kenderaan terbabit.

ANTARA notis yang diletakkan pada kenderaan terbiar. FOTO NSTP
ANTARA notis yang diletakkan pada kenderaan terbiar. FOTO NSTP

Penduduk, Mohd Azni Azahari, 33, berkata, kenderaan terbabit sudah sekian lama dibiarkan di kawasan berkenaan.

“Saya tidak tahu kenderaan itu milik siapa, tapi kami percaya ia milik penduduk pangsapuri berdekatan.

“Ada antara kenderaan sudah hampir setahun terbiar di laluan berkenaan.

“Malah, sikap pemilik kenderaan yang gemar meletakkan kereta di tepi jalan secara berlapis juga menyebabkan laluan ini menjadi sempit.

“Laluan ini menjadi tumpuan kerana menempatkan kawasan sekolah, kedai makan dan perumahan penduduk.

“Pada waktu puncak aliran trafik menjadi perlahan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas kerana laluan sempit akibat kenderaan yang diletakkan di tepi jalan serta kereta terbiar berkenaan.

“Kami berharap pihak berkuasa mengambil tindakan mengalihkan kereta terbiar dari lokasi dan mengenakan tindakan terhadap pemilik kenderaan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 6:00 AM