Hazama menangis sewaktu penggambaran drama Ammar & Opie. FOTO HAFIZ SOHAIMI
Hazama menangis sewaktu penggambaran drama Ammar & Opie. FOTO HAFIZ SOHAIMI
Norhayati Nordin


PENYANYI lagu Relakan Jiwa, Hazama, 34, akui dia menangis tanpa henti selama dua bulan ketika penggambaran drama Ammar & Opie arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin untuk TV3.

Hazama ditemui berkata dia yang sering disogok dengan watak komedi dalam lakonannya terdahulu, mencabar diri untuk bermain dengan emosi.

"Drama Ammar & Opie ini adalah karya pertama lakonan saya untuk watak serius dan banyak bermain emosi meruntun jiwa.

"Walaupun ia drama mengisahkan perjalanan hidup Ammar lakonan saya yang memburu impian untuk jadi penyanyi popular tetapi begitu banyak permainan emosi di dalamnya.

"Dalam drama ini, saya perlu banyak menangis dan ia bukan mudah dilakukan hingga saya pernah terfikir silap membuat keputusan menerima tawaran berlakon.

"Ini kerana, faktor utama saya setuju berlakon dalam drama Ammar & Opie itu hanya nak ambil peluang bekerjasama dengan Datuk Awie saja," katanya.

Menurut Hazama, meskipun Awie muncul sebagai penampilan istimewa, apa yang paling utama 'rocker' terkenal negara itu adalah idolanya.

"Saya memang tak pandang langsung soal bayaran. Apa yang saya inginkan, nak berlakon dengan Awie walau pun babak kami bertemu dilakukan di Golok, Selatan Thailand.

"Apa pun, berlakon drama Ammar & Opie banyak membawa pengalaman baru untuk saya termasuk berasa puas dengan karakter dilakonkan," katanya.

Ditanya bagaimana dia berjaya mendapatkan emosi untuk menangis, Hazama berkata semuanya berpunca dengan kematian kucing kesayangannya, Cha.

"Di saat saya hampir kecewa memikirkan bagaimana nak menangis untuk menghidupkan watak dilakonkan, kematian Cha sangat membantu.

"Perasaan sedih yang mendalam di atas kematiannya (Cha) sangat berbekas di hati saya dan rasa itu saya berjaya 'kunci' untuk merealisasikan watak Ammar," katanya.

Hazama atau Hazama Ahmad Azmi berkata, kucingnya Cha itu sudah lama sakit dan doktor pun memberitahu jangka hanyatnya tidak panjang.

"Namun, memang tak sangka kematian Cha adalah pertolongan Allah SWT kepada saya untuk melaksanakan tanggungjawab lakonan yang digalas.

"Selama hidup saya, belum pernah melalui detik kehilangan insan tersayang dan kematian Cha itu adalah yang pertama dapat merasai kesedihan mendalam," katanya.

Berbicara karier nyanyiannya, Hazama berkata dia menghasilkan lagu duet Hidup Atau Mati bersama Noryn Aziz hasil ciptaan Ajai untuk lagu tema OST filem Kalla yang menjengah pawagam pada 11 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 12:46 PM