HAZAMA berduet dengan Zamani.
HAZAMA berduet dengan Zamani.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Melihat jumlah peminat yang beratur di pekara–ngan pintu masuk Hard Rock Cafe (HRC) Kuala Lumpur Ahad lalu menjadi petanda awal Showcase Hazama The Penglipur Lara mendapat sambutan hangat.

Peminat yang hadir bukan sahaja terdiri daripada kalangan remaja bahkan juga wanita pertengahan usia.

Semakin hari Hazama semakin berbisa bahkan strategi Astro yang mempromosikan showcase ini saban hari di kaca TV, ternyata menjadi apabila berjaya menarik kehadiran lebih 1,200 peminat.

Tepat jam 9 malam, Hazama muncul di atas pentas dengan disambut sorakan gemuruh peminatnya. Hazama membuka tirai persembahan dengan menyampaikan lagu yang sering dinyanyikan sebelum dia bergelar artis iaitu Biarkan Berlalu (Wings), Rozana dan Gadisku (Search).

Persembahan diteruskan dengan lagu Zakiah (Sweet Charity) dan Bukan Aku Tak Cinta (Saleem) yang pernah dinyanyikannya ketika menyertai Akademi Fantasia 4.

Bukan sahaja mampu menyanyi dengan baik, Hazama juga mempunyai ciri penghibur apabila pandai berkomunikasi dengan peminat. Celoteh lucunya menggeletek hati peminat dan media yang hadir.

Lagu Pokok, Cinta Teragung dan Soul Sister berjaya menghangatkan lagi suasana HRC yang padat dengan peminat.

Malam semakin larut dan sebaik nama Zamani dilaung Hazama, peminat semakin kuat bersorak. Ternyata, ramai merindui kemunculan penyanyi lagu Gerimis Mengundang itu.

Hazama dan Zamani berduet menyampaikan lagu Nur Kasih malah Zamani turut menyampaikan lagu Gerimis Mengundang secara solo selepas itu.

Sebaik segmen persembahan artis undangan berakhir, Hazama mengambil alih pentas dengan menyanyikan lagu Malaikat, Sampai Mati dan Di Amaran Mama. Persembahan ditutup dengan lagu popularnya, Penglipur Lara dan Relakan Jiwa.

Hazama ketika ditemui meluahkan rasa lega kerana janjinya kepada peminat sudah dilunaskan.

“Saya lega dan tak sangka sambutan yang diberikan peminat begitu hebat. Ini menunjukkan mereka menghargai saya dan saya ikhlas menghiburkan mereka.

“Masa yang diberikan untuk membuat persiapan persembahan ini sangat singkat. Kebetulan pula ketika HRC tawarkan projek ini, saya sibuk dengan persiapan separuh akhir Muzik-Muzik. Saya terharu dengan kesudian HRC mengundang saya dan berusaha melakukan yang terbaik. Alhamdulillah persembahan ini berjaya seperti yang diharapkan,” katanya riang.

Sambung Hazama, koleksi lagu pilihannya kali ini mempunyai kisah tersendiri dalam kembara hidupnya.

“Saya suka nyanyi lagu yang peminat tahu. Bukan semua orang tahu lagu saya.

“Ini persembahan pertama saya di HRC dan sebelum ini saya hanya tumpang konsert Hafiz.

“Mengenai pemilihan Zamani sebagai penyanyi jemputan pula, saya peminat setianya. Kami sama-sama tinggal di Keramat. Pernah sekali saya ketuk pintu rumah Zamani kerana mahu dapatkan tandatangannya.

“Semua lagunya saya hafal. Apabila ada persembahan sendiri, orang pertama yang terlintas di kepala saya adalah dia. Ternyata pemilihan ini tepat malah saya berpuas hati melihat reaksi peminat sebaik kelibat Zamani muncul di atas pentas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 12:01 PM