ZULKIFLI memerhati  Khumaira yang sedang tidur. FOTO Ghazali Kori
ZULKIFLI memerhati Khumaira yang sedang tidur. FOTO Ghazali Kori
Aslina Abu Bakar

Kuala Terengganu: Nur Zulaikha Khumaira Zulkifili, 7, yang putus tangan kiri selepas baju sejuk dipakainya tersangkut pada rim motosikal dalam kejadian pada 12 Julai lalu tidak sabar menanti kedatangan rakan kelasnya minggu depan.

Ibunya, Rohidayu Siup@Yusof, 29, berkata, anaknya yang mesra disapa sebagai Khumaira atau kakak bukan hanya merindui rakan dan gurunya tetapi juga tidak sabar untuk kembali ke sekolah.

Menurutnya, lawatan yang akan dibuat oleh pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek, Marang bersama guru dan sembilan rakan baik Khumaira itu adalah atas permintaan anaknya sendiri yang terlalu merindui mereka.

“Sepatutnya rakan kelas Khumaira datang semalam (kelmarin), tetapi disebabkan belum dapat kebenaran hospital jadi program lawatan itu ditunda minggu depan.

“Khumaira sendiri yang menyenaraikan nama sembilan orang rakan yang dirindui dan ingin ditemuinya minggu hadapan,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam.

Khumaira ketika ditemui petah bercakap dan banyak menonton video kartun di YouTube menerusi telefon bimbit bagi menghilangkan kebosanan kerana tidak dapat ke sekolah.

Rohidayu berkata, Khumaira sangat seronok apabila dapat mengikuti pembelajaran di sekolah dalam hospital berkenaan dan sedikit-sebanyak menghilangkan kerinduannya untuk bersekolah.

“Alhamdulillah, walaupun ujian berat hilang tangan kiri akibat kejadian itu, Khumaira tetap anak yang senang dijaga dan sentiasa ceria walaupun beberapa kali menjalani pembedahan.

“Dia memang seorang yang kuat makan dan Alhamdulillah selera makannya sudah kembali seperti biasa,” katanya.

Bapanya, Zulkifli Mohamad, 38, berkata, Khumaira baru menjalani pembedahan menampal kulit peha di bahagian tangannya yang putus itu.

“Pembedahan itu adalah yang ketiga dan mengambil masa satu jam setengah.

“Semua berjalan lancar, malah doktor memaklumkan luka di tangan Khumaira yang putus itu dalam keadaaan baik dan insya-Allah balutan boleh dibuka Ahad ini,” katanya.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, Khumaira bersama adik bongsunya, Aqil Zafran, 2, membonceng motosikal Honda Wave ditunggang sepupunya, Noor Aina Hananie Rozali, 18, ke rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) bagi mendapatkan cop pengesahan permohonan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 7:43 AM