RAK menempatkan tengkorak manusia berusia kira-kira 700 tahun di gereja berkenaan sebelum sebahagiannya hilang akibat dicuri baru-baru ini. - FOTO Kent Police
RAK menempatkan tengkorak manusia berusia kira-kira 700 tahun di gereja berkenaan sebelum sebahagiannya hilang akibat dicuri baru-baru ini. - FOTO Kent Police
Agensi

Kent (Britain): Polis di bandar ini bingung selepas pencuri memecah masuk sebuah gereja dan melarikan 21 tengkorak manusia yang dipercayai berusia kira-kira 700 tahun.

Daily Mirror melaporkan, sekumpulan pencuri masuk ke Gereja St Leonard di Hythe dengan memecah kunci di pintu sebelum melarikan tengkorak berkenaan.

Polis kini menjalankan siasatan untuk mencari dalang kejadian berkenaan yang dipercayai berlaku antara jam 4 petang (waktu tempatan) Ahad lalu hingga 10.40 pagi (waktu tempatan) Isnin lalu.

Tengkorak berusia kira-kira 700 tahun itu dicuri di satu rak yang menempatkan beratus-ratus lagi tengkorak di gereja berkenaan.

Ketua paderi di gereja berkenaan, Andrew Sweeney berkata, dia sedih dengan kejadian itu kerana setiap tengkorak melambangkan keabadian manusia yang bersemadi dengan aman.

“Jenayah ini mengejutkan dan mengganggu komuniti di sini. Kami berharap polis dapat menangkap pencuri ini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis Kent, Inspektor Maxine Harris berkata, jenayah itu dianggap luar biasa dan pihaknya tidak mengetahui tujuan tengkorak itu dicuri.

“Ini adalah sebahagian koleksi yang penting dan kami berazam untuk mengembalikan tengkorak itu ke tempat yang sepatutnya.

“Kami juga memantau dan meminta orang ramai menghubungi polis sekiranya ternampak tengkorak yang mahu dijual,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 9:26 AM