ANGGOTA polis memeriksa terowong yang digali seorang banduan di bawah tandas di dalam selnya. Gambar kanan, penjara kawalan ketat Monte Cristo di Boa Vista, utara Brazil ini menempatkan banduan ganas dan berbahaya. FOTO DICAP/SEJUC & AFP
ANGGOTA polis memeriksa terowong yang digali seorang banduan di bawah tandas di dalam selnya. Gambar kanan, penjara kawalan ketat Monte Cristo di Boa Vista, utara Brazil ini menempatkan banduan ganas dan berbahaya. FOTO DICAP/SEJUC & AFP
Agensi

Boa Vista, Brazil: Seorang banduan yang makin hampir mengecap kebebasan selepas menggali terowong sejauh 70 meter dari tandas di selnya ditemui mati lemas ketika cuba melarikan diri.

Judson Cunha Evangelista, 26, dipercayai mati akibat kekurangan oksigen ketika dia menggali terowong yang sudah melepasi tembok kawalan di penjara kawalan ketat Monte Cristo di Boa Vista, utara Brazil.

Evangelista dipercayai mengambil masa selama berbulan-bulan untuk menggali terowong berkenaan dan hanya beberapa meter saja untuk dia mencapai permukaan tanah di kawasan hutan di luar penjara.

Lelaki itu dipercayai mahu menggunakan terowong itu untuk melarikan diri beramai-ramai dengan banduan yang lain.

Terowong itu ditemui pegawai penjara yang menyiasat kematian Evangelista yang dipenjarakan kerana membunuh.

Evangelista dipercayai lemas ketika berada di dalam terowong berkenaan tetapi sempat kembali ke selnya sebelum meninggal dunia.

Pegawai penjara terkejut menemui terowong berkenaan yang bermula di bawah tandas di sel berkenaan.

Terowong itu mencapai jarak 70 meter dan sudah melepasi tembok dan pagar elektrik di sekeliling penjara berkenaan.

Pihak berkuasa juga menemui beberapa beg tanah dan kabel elektrik di sepanjang terowong itu yang mempunyai mentol lampu di hujungnya.

Seramai 150 anggota polis diarahkan untuk mengesan terowong berkenaan selepas pihak penjara menyedari kewujudannya susulan kematian Evangelista.

Jurucakap penjara berkata, terowong berkenaan kini diisi dengan konkrit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 4:52 AM