BUKAAN terowong ditutup dengan papan lapis. FOTO Daily Mail
BUKAAN terowong ditutup dengan papan lapis. FOTO Daily Mail
Agensi

BUENOS AIRES: Sekumpulan banduan nyata tersilap langkah apabila cuba meloloskan diri dari penjara dengan menggali terowong yang berakhir di dalam kandang anjing tempat tahanan itu.

Menurut portal berita Argentina, Clarin, tujuh suspek itu bersusah payah selama dua hari menggali lubang dan terowong di sel tahanan mereka di Penjara Florencia Varela, di ibu negara.

Terowong berkenaan sepanjang 1.8 meter dengan lebar 0.9 meter dan sedalam 1.5 meter. Bagi mengelak menimbulkan syak, suspek yang juga sebahagian daripada program pertukangan kayu di penjara itu menutup lubang berkenaan dengan papan lapis sebelum menaburkan habuk kayu.

Malangnya mereka tersilap hitung arah terowong apabila laluan keluarnya di dalam kandang unit K-9 penjara berkenaan.

TEROWONG itu berakhir di dalam kandang unit K-9. FOTO Daily Mail
TEROWONG itu berakhir di dalam kandang unit K-9. FOTO Daily Mail

Pada masa sama, mereka tidak sempat menggali lubang baru selepas pihak penjara berjaya menghidu perancangan mereka selepas melakukan pemeriksaan rutin pada Isnin lalu.

Gambar dan video dari penjara dengan lebih 7,000 tahanan itu menunjukkan betapa sempitnya laluan keluar berkenaan.

Menurut Daily Mail, suspek ditahan di sayap keselamatan maksimum serta sederhana penjara kerana kesalahan merompak. Mereka sepatutnya dibebaskan seawal 2021.

Susulan kejadian itu, mereka didakwa atas tuduhan cuba melarikan diri dan dipindahkan ke tujuh penjara berbeza.

Penyiasat juga meneliti sama ada mereka mendapat bantuan orang dalam di pusat tahanan itu.

ANGGOTA penguat kuasa memeriksa terowong berkenaan. FOTO Daily Mail
ANGGOTA penguat kuasa memeriksa terowong berkenaan. FOTO Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 11:30 AM