PROJEK Rumah Hijau.
PROJEK Rumah Hijau.
PROJEK mesin pengering makanan.
PROJEK mesin pengering makanan.
ANTARA sukarelawan yang terlibat dalam misi membantu rakyat Bosnia.
ANTARA sukarelawan yang terlibat dalam misi membantu rakyat Bosnia.
Muhammad Saufi Hassan


Bangi: Sebanyak lima projek dilaksanakan Islamic Relief Malaysia (IRM) untuk membantu rakyat Bosnia yang kini berdepan krisis bekalan makanan dan dibelenggu kemiskinan kesan peperangan 26 tahun lalu.

Pertubuhan itu kini berusaha meningkatkan lagi pendapatan rakyat Bosnia menerusi program perniagaan dan bantuan pendidikan kanak-kanak.

Pegawai Kanan Bahagian Rakan Perkongsian IRM, Sharmiza Husin berkata, berdasarkan pemerhatian, pihaknya mendapati lebih 50 peratus rakyat Bosnia tiada pekerjaan berikutan peluang kerjaya terhad.

“Majoriti golongan dewasa Bosnia membuat kerja kampung manakala belia berhijrah ke negara jiran terutama Jerman untuk mencari pekerjaan.

“Selepas peperangan selama tiga tahun iaitu pada 1992 hingga 1995, perkembangan ekonomi dan pembangunan Bosnia amat perlahan. Kekurangan peluang pekerjaan meningkatkan lagi kadar kemiskinan.

“Jadi kami berasakan wujud keperluan melakukan sesuatu bagi membantu Muslim dan mengembangkan semula ekonomi negara Islam ini,” katanya di Ibu Pejabat IRM di sini, kelmarin.

Sharmiza berkata, walaupun peperangan berlaku cuma tiga tahun, kesannya kepada ekonomi negara itu sangat besar.

“Apa yang kami nampak, bantuan seperti projek Rumah Hijau dan mesin pengering makanan lebih memberi impak kepada mereka yang memerlukan di Bosnia.

“Produk dihasilkan bukan saja boleh digunakan untuk menyara keluarga, sebaliknya dijual bagi menambah pendapatan,” katanya.

Pihaknya juga menggunakan khidmat jaringan IRM di Bosnia iaitu Islamic Relief Bosnia (IRB) untuk menyalurkan bantuan pada masa depan.

Beliau berkata, pihaknya juga melaksanakan program penanaman semula hutan sebagai projek berpotensi bagi mengelakkan tanah runtuh di lereng bukit berhampiran kawasan perumahan.

Menurutnya, IRB juga membantu anak yatim menerusi projek penajaan Al-Yateem yang memberi fokus kepada aspek pendidikan dan psikososial kanak-kanak di negara itu.

Hakikatnya peperangan memusnahkan infrastruktur serta melumpuhkan ekonomi rakyat Bosnia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 8:30 AM