Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Kehidupan ribuan keluarga di kawasan pantai timur terjejas teruk akibat banjir besar yang melanda negara hujung tahun lalu.

Sejajar semangat ukhuwah dan keinginan membantu, jenama sos Mahsuri menjalankan projek amal dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Islamic Relief Malaysia (IRM).

Program tanggungjawab sosial Mahsuri itu bertujuan membina semula dan membaik pulih komuniti yang terjejas dalam tragedi banjir itu.

Dalam menjayakan program itu, Mahsuri akan menyumbangkan 100 peratus daripada hasil jualan setiap botol rangkaian sos kepada Program Desa Lestari yang dilaksanakan IRM.

Pengarah Pemasaran Mahsuri, Lee Kum Kee Malaysia, Carmen Liew berkata, projek itu memberi makna tersendiri kepada pihaknya memandangkan dia me­nyaksikan sendiri penderitaan yang dialami rakyat Malaysia ketika bencana itu melanda.

“Kami percaya dengan menghulurkan bantuan ke arah pembangunan komuniti mangsa banjir, kami akan dapat mengubah nasib mereka sedikit demi sedikit untuk keluar daripada kemiskinan. Kami juga berharap mereka dapat menjadi komuniti sihat yang mampan diri serta tidak memerlukan bantuan dari luar dalam jangka masa panjang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Negara IRM, Tuan Zairul­shahfuddin Zainal Abidin berkata, jalinan kerjasama dan sokongan berterusan daripada rakan korporat seperti Mahsuri diharap mampu membantu IRM memberi yang terbaik dalam usahanya membangunkan kampung yang terjejas.

Katanya, selepas banjir melanda pantai timur, IRM terbabit dalam usaha bantuan secara agresif kepada lebih 40,000 penerima manfaat di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Pada Februari tahun ini, kita meningkatkan usaha bantuan jangka panjang dalam Projek Desa Lestari. Kampung yang dilanda banjir dibangunkan dalam lima komponen utama untuk menjadikannya sebagai komuniti mampan dengan kemudahan sosial dan peluang kehidupan.

“Semua keuntungan yang diperoleh melalui kempen CSR Mahsuri sepanjang tempoh ini disalurkan ke arah pembinaan semula tempat tinggal, kehidupan yang mampan, pendidikan, memperkasakan komuniti dan pengurusan pengawalan risiko bencana di bawah Projek Desa Lestari,” katanya.

Rangkaian sos Mahsuri disahkan yang halal oleh Jabatan Agama Islam (JAKIM) dan bebas daripada bahan pengawet menawarkan empat jenis perasa iaitu Kicap Manis Pedas, Kicap Manis, Sos Perapan Ayam dan Sos Berperisa Tiram.

Sos Mahsuri boleh didapati di semua cawangan pasar raya Giant seluruh negara dan program amal itu berlangsung bermula 26 Mac hingga 8 April ini.

Untuk keterangan lanjut mengenai IRM atau Projek Desa Lestari, sila kunjungi www.islamic-relief.org.my atau www.facebook/MyMah­suri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 1:32 PM