SUKARELAWAN program Hope For Bosnia bersama penduduk tempatan di Sarajevo, Bosnia.
SUKARELAWAN program Hope For Bosnia bersama penduduk tempatan di Sarajevo, Bosnia.
Mahaizura Abd Malik

KUALA LUMPUR: Kecekalan penduduk Bosnia menghadapi realiti hidup dan berusaha bangkit menginsafkan Akmal Hafizuddin Mohd Adam ketika mengetuai misi kemanusiaan di sekitar Bosnia pada penghujung bulan lalu.

Penuntut tahun akhir jurusan Kewangan dan Perakaunan Lancaster University, United Kingdom itu bersama sekumpulan penuntut Malaysia seluruh Eropah yang bernaung di bawah Muslim Care Eropah dan Platform Siswa Islam Malaysia United Kingdom (PRISM) menggerakkan Projek Hope For Bosnia.

Menurut Akmal Hafizuddin yang bertindak sebagai pengarah projek, kebanyakan penduduk Bosnia yang ditemui amat menyanjungi Malaysia kerana banyak menghulurkan bantuan kepada negara mereka.

SUKARELAWAN program Hope For Bosnia menyerahkan sumbangan kepada imam masjid di Bosnia.
SUKARELAWAN program Hope For Bosnia menyerahkan sumbangan kepada imam masjid di Bosnia.

“Sameera adalah pemandu pelancong kami yang mempunyai hasrat murni membangunkan sebuah pertubuhan bagi melatih dan memberi pendidikan kepada generasi muda dalam bidang pelancongan.

“Saya merasakan hasratnya itu murni lalu kami menghulurkan sedikit bantuan dana untuk merealisasikan impiannya.

“Apa yang membuatkan kami terharu, dia yang lebih berusia mengatakan kami dan seluruh Malaysia ibarat ibu bapa mereka,” katanya.

SUKARELAWAN mendampingi kanak-kanak Bosnia.
SUKARELAWAN mendampingi kanak-kanak Bosnia.

Menurutnya, melihat semangat kental dimiliki penduduk Bosnia yang masih dalam proses kebangkitan selepas peperangan, menguatkan semangat mereka bersatu hati membela nasib golongan itu menerusi projek berkenaan.

“Projek ini satu usaha kemanusiaan dan dakwah untuk membantu sosioekonomi penduduk Bosnia yang terjejas.

“Akibat peperangan itu, mereka terpaksa hidup dalam kelaparan dan kemiskinan terutama kawasan luar bandar.

BANTUAN sedia untuk diagihkan.
BANTUAN sedia untuk diagihkan.

“Jadi kami mengumpul seberapa banyak sumbangan untuk membantu penduduk Bosnia yang dikenal pasti menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif di sana,” katanya.

Katanya, projek berkenaan akan dijadikan acara tahunan kerana ia lambang keprihatinan rakyat Malaysia membantu orang luar yang memerlukan.

“Mungkin kita akan tengok lagi bantuan lebih mustahak pada masa hadapan. Harap saya dan rakan terus istiqomah dalam perjuangan ini.

“Saya juga sudi menjadi penasihat kepada pengarah projek baru selepas ini bagi memastikan kesinambungan membantu kebangkitan penduduk Bosnia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 7:33 AM