IRW mengagihkan bantuan untuk rakyat Yaman susulan konflik perang saudara di negara itu.
IRW mengagihkan bantuan untuk rakyat Yaman susulan konflik perang saudara di negara itu.
Muhammad Saufi Hassan

Bangi: Krisis kekurangan bekalan makanan berkhasiat, air bersih, ubat-ubatan, kemusnahan infrastruktur dan penularan wabak penyakit antara kesan akibat perang saudara terpaksa ditanggung penduduk Yaman.

Akibat perang saudara, lebih 22 juta rakyat republik itu terutama kanak-kanak, warga emas dan ibu mengandung sukar mendapatkan bekalan ubat-ubatan dan makanan berkhasiat dalam jumlah mencukupi.

Dianggarkan 2.9 juta kanak-kanak terkesan akibat krisis kekurangan makanan berkhasiat dan mereka kini terdedah pelbagai penyakit berbahaya yang boleh meragut nyawa.

Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia (IRM) Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, kesan buruk dan angka itu hasil kajian dilakukan pihaknya di Yaman yang juga negara termiskin dalam Liga Arab.

“Masalah utama membantutkan usaha mengagihkan bekalan adalah kesukaran untuk masuk ke Yaman, ruang udara negara itu belum dibuka untuk penerbangan komersial berikutan keadaan semasa yang belum stabil.

“Kekacauan masih berlaku di ibu negara berkenaan iaitu di Sana’a, perbalahan membabitkan tentera pemberontak Houthi dan tentera pro kerajaan yang mempertahankan kebanyakan kawasan.

“Wilayah yang terjejas teruk adalah sekitar Eden dan Ma’arib serta beberapa lokasi lain. Wilayah berkenaan menempatkan ramai pelarian daripada Sana’a yang melarikan diri selepas wilayah itu dikuasai pemberontak,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat IRM, di sini, semalam.

Menurutnya, orang ramai yang mahu membantu boleh menyumbang menerusi akaun IRM, 5621 4270 8704 (Maybank), 1202 9010 0656 43 (Bank Islam), 1108 0100 0035 (Bank Rakyat) dan CIMB Islamic 8602 0738 18.

Zairulshahfuddin berkata, seramai 17.8 juta rakyat Yaman kekurangan makanan harian, manakala 16.4 juta lagi memerlukan bekalan ubat-ubatan.

Menurutnya, pihaknya difahamkan sejak perang saudara tercetus 50,000 cedera manakala 8,757 lagi dilaporkan terkorban.

“Menerusi jaringan IRM di Yaman iaitu Islamic Relief Worldwide (IRW), setakat ini kita bantu 1.7 juta rakyat yang memerlukan bekalan makanan, 38,285 kanak-kanak kekurangan nutrisi makanan dan 56,700 lagi sudah terima bekalan ubat-ubatan.

“Apa yang dilakukan adalah sebahagian usaha kecil kami menerusi jaringan di beberapa negara bergolak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 4:02 AM