Dua siswi Gap Year USIM Rabaatul Adawiyah (kiri) dan Maryam (kanan) yang akan ke Bosnia bersama IRM. Foto Ihsan USIM
Dua siswi Gap Year USIM Rabaatul Adawiyah (kiri) dan Maryam (kanan) yang akan ke Bosnia bersama IRM. Foto Ihsan USIM
Raja Noraina Raja Rahim


DUA siswi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai terbabit dalam Misi ke Bosnia: Memperkasakan Wanita dan Kanak-Kanak bersama Islamic Relief Malaysia (IRM) pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Penuntut tahun tiga Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah, Maryam Nur Imran dan Rabaatul Adawiyah Junus masing-masing berusia 20 tahun itu akan menyempurnakan misi membantu komuniti wanita di negara itu.

Mereka sebelum ini pernah terbabit melaksanakan Projek Perpustakaan Mini dan Pemantapan Jati Diri di Kampung Orang Asli Bukit Tampoi, Selangor serta Projek Aqua&WASH Taharah di Kampung Tagupi Laut, Lahad Datu, Sabah.

Dalam satu kenyataan oleh IRM, pihaknya bersama dua penuntut itu yang juga sukarelawan Program Gap Year USIM mengambil inisiatif menerajui misi kemanusiaan yang memberi fokus kepada golongan ibu tunggal di Bosnia.

“Tujuan misi adalah membantu menggerakkan sumber ekonomi dan menjana pendapatan kepada mereka melalui projek peti pengering makanan (food dryer).

“Sepanjang berada di sana, kami akan mengajar kumpulan ibu tunggal berkenaan bagaimana projek pengering makanan itu mampu menjana pendapatan.

“Beberapa unit peti terbabit akan diserahkan kepada mereka hasil sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak di Malaysia,” katanya.

Menurut IRM, selain memantau pelaksanaan projek pengering makanan untuk ibu tunggal, siswi USIM juga akan bersama terbabit dengan beberapa program lain.

Antara program adalah mengunjungi pejabat Islamic Relief Bosnia, aktiviti terapi untuk kanak-kanak, pengedaran pek makanan, pemindahan ilmu pembuatan kek dan jahitan, pertukaran budaya selain dibawa melawat ke tempat bersejarah.

“Misi ini membabitkan belanja yang besar iaitu kira-kira RM65,000 dan dana yang terkumpul pada masa kini belum mencukupi.

“Justeru, sumbangan daripada pihak korporat dan perseorangan amat dialu-alukan,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun IRM melalui CIMB Islamic bernombor 8602073818 (dengan rujukan GP Bosnia).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 11:45 AM