NOR Zafirah bersama kanak-kanak dalam misi kemanusiaan di bumi bergolak. FOTO NSTP
NOR Zafirah bersama kanak-kanak dalam misi kemanusiaan di bumi bergolak. FOTO NSTP
Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Meskipun wilayah konflik sinonim dikaitkan dengan kaum lelaki namun ia tidak menghalang wanita ini untuk turut serta dan menghulurkan bantuan walaupun sedar wujud risiko keselamatan.

Melihat penderitaan mangsa di wilayah bergolak, krisis kebuluran dalam kalangan kanak-kanak dan babak tragis, wanita ini tetap tekad untuk menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

Wanita berkenaan yang juga sukarelawan Islamic Relief Malaysia (IRM) Nor Zafirah Zahari, 31, beranggapan perkara itu sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya dan dia ingin meneruskan khidmat baktinya untuk golongan kurang bernasib baik.

“Jika bercakap soal risiko di wilayah konflik, ia memang sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Sesiapa saja baik sukarelawan atau petugas sedar mengenai perkara ini memandangkan situasi di wilayah bergolak boleh berubah sekelip mata.

“Cuma kita sebagai orang Islam wajib yakin mengenai ketentuan Allah SWT dan sentiasa memohon perlindungan daripada-Nya dan itu antara ‘resipi’ saya sepanjang menyertai misi kemanusiaan di wilayah bergolak.

“Kita tidak mampu untuk ramal situasi di kawasan konflik ini, kadangkala ia selamat untuk dimasuki, namun keadaan berubah dalam tempoh yang singkat. Apa yang boleh kita lakukan adalah doa dan sentiasa melakukan persiapan,” katanya.

Nor Zafirah yang menyertai IRM sejak enam tahun lalu berkata, tugas sukarelawan kemanusiaan tidak semudah yang disangka kerana ia lebih membabitkan hubungan dengan mangsa di sesuatu negara.

NOR Zafirah Zahari. FOTO Surianie Mohd Hanif
NOR Zafirah Zahari. FOTO Surianie Mohd Hanif

“Sukarelawan ini tidak bermaksud kita sekadar pergi menghantar bantuan dan pulang, ia tidak begitu. Tetapi bagaimana kita menyantuni masyarakat di sesuatu negara.

“Paling penting sentuhan kemanusiaan itu kepada mangsa konflik. Kita bukan saja berdepan dengan risiko keselamatan tetapi risiko penularan penyakit berjangkit.

“Kita sememangnya terdedah dengan perkara itu namun segala persiapan harus dibuat. Walaupun saya wanita, saya tidak melihat itu kekurangan sebaliknya kelebihan terutama untuk menyantuni golongan tidak bernasib baik,” katanya.

Beliau yang pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia, Bangladesh, Jordan dan beberapa negara lain berkata, sebenarnya ramai lagi wanita yang terbabit secara aktif dalam kerja kemanusiaan kerana ia suatu tugas yang unik serta banyak pengalaman boleh diperoleh.

NOR Zafirah menyusun buku yang didermakan orang ramai di Charity Shoppe. FOTO Surianie Mohd Hanif
NOR Zafirah menyusun buku yang didermakan orang ramai di Charity Shoppe. FOTO Surianie Mohd Hanif

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 9:28 AM