AZRINAZ bersama suami. FOTO NSTP
AZRINAZ bersama suami. FOTO NSTP
Kadir Dikoh

Kuala Lumpur: Bekas personaliti televisyen, Azrinaz Mazhar Hakim, 39, dan suaminya, Fairos Khan Abdul Hamid, 43, memilih Palestin, sebagai destinasi bulan madu mereka pada Ramadan ini.

Pasangan yang bernikah pada Selasa lalu itu, mahu menjadikan Baitulmaqdis sebagai lokasi pertama persinggahan dalam ikatan suami isteri.

“Tetapi kunjungan ke Palestin itu bukanlah kira honeymoon’ sangat. Kami tak rancang pun untuk sebarang bulan madu.

“Dah usia macam ni honeymoon bukan keutamaan, asalkan selamat disatukan dengan cara yang sah, tapi Baitulmaqdis bakal menjadi lokasi pertama kami (kunjungi) sebagai suami isteri... insya-Allah,” katanya.

Azrinaz yang juga penulis kolum di Berita Harian, mengahwini Fairos Khan yang dikenalinya sejak 20 tahun lalu, dengan sekali lafaz 1 Mei lalu.

Mereka yang sama-sama bertugas di TV3 sebelum ini, mula menjalin hubungan rapat sejak setahun lalu.

Mempelai dinikahkan Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Hazman Hashim, berwalikan bapa Azrinaz.

Majlis diadakan di kediaman pengantin perempuan secara tertutup dihadiri keluarga terdekat.

Mengenai pemilihan 1 Mei untuk hari perkahwinan, Azrinaz berkata, ia dilakukan kerana mahu melangsungkannya sebelum ketibaan Ramadan, selain hari cuti umum setiap tahun yang juga bersamaan Nisfu Syaaban.

“Tahun lalu, saya berada di Kota Suci Makkah untuk 10 Ramadan terakhir. Jadi tahun ini jika diizinkan, saya memilih di Al-Aqsa pula untuk menjalani ibadat puasa bersama suami.

“Ini adalah lawatan kemanusiaan saya (ke Palestin) bersama pertubuhan bukan kerajaan yang juga akan membabitkan banyak aktiviti iftar bersama penduduk Palestin di sana dan melawat tempat sejarah tamadun Islam.

“Jadi bila dah ada suami, saya rasa lengkap dan lebih terjaga, selain pengiring yang sedia ada,” katanya mengenai kunjungan ke Asia Barat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 9:30 AM