Amir Abd Hamid

Hulu Langat: Meluahkan suasana alam dilihat setiap hari menerusi karya diorama dan miniatur sangat memberikan kepuasan kepada seorang jurugambar profesional yang menganggap bersesuaian dengan jiwa seninya.

Eddie Putera Noordin, 51, lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina dan Arkitek Universiti of London itu menjelaskan baginya hasil model landskap alam berskala mikro mampu menceritakan seni sebagai makanan jiwa manusia.

Tidak hairanlah, karya diorama dan miniatur yang disiapkannya hampir menyerupai binaan sebenar sesuatu tempat, situasi dan latar belakang seperti keadaan di bandar, pantai serta perkampungan.

“Saya berminat dalam seni visual sejak usia muda. Lukisan, gambar dan kini diorama serta miniatur membuatkan saya boleh bercerita dengan persembahan visual.

“Menghasilkan penceritaan perihal kehidupan harian manusia termasuk di lokasi bangunan bersejarah, ikonik, kesenian arkitek, memaparkan kekayaan dan kepelbagaian sejarah, warisan, karya, budaya masyarakat, lagenda dan cerita rakyat di Malaysia dalam bentuk mikro amat mengujakan.

“Biasanya saya mengambil masa antara dua hingga empat bulan untuk menghasilkan diorama. Itu pun bergantung kepada saiz.

“Paling kecil mini landskap alam dihasilkan ialah miniatur berukuran 10 sentimeter (sm) manakala paling besar pun sekitar 10sm x 7sm,” katanya.

ANTARA karya diorama yang dihasilkan Eddie Putera. FOTO Hafiz Sohaimi
ANTARA karya diorama yang dihasilkan Eddie Putera. FOTO Hafiz Sohaimi

Dia yang ditemui Harian Metro di Eddie Putra Art Studio miliknya di Teratak Dusun, Sungai Tekali di sini, berkata, seni persembahan visual itu lebih kepada hobinya namun tidak menolak sekiranya menerima tempahan.

Menghasilkan model diorama yang semakin diminati ramai itu, katanya, ia tidak menghalang kerja hakikinya sebagai jurugambar profesional dan buat masa ini Eddie Putera adalah duta produk untuk peralatan kamera Sony.

“Pencapaian saya setakat ini mewakili Malaysia di Pameran KL Festival Kraf Antarabangsa 2017 di Putrajaya.

“Apa pun, buat masa ini saya berusaha menggalakkan anak muda menceburi seni miniatur dan diorama.

“Sebab itu saya mengasaskan group FB Diorama dan Miniature Malaysia untuk kembangkan kemahiran seni ini dalam kalangan anak muda,” katanya.

Ini kerana baginya manusia perlu makanan untuk pembangunan fizikal dan pada masa sama manusia juga perlu seni untuk makanan jiwa.

“Hidup saya adalah berkorban untuk memberikan makanan jiwa pada masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 5:14 AM
ANTARA karya diorama yang dihasilkan Eddie Putera. FOTO Hafiz Sohaimi
ANTARA karya diorama yang dihasilkan Eddie Putera. FOTO Hafiz Sohaimi
EDDIE Putera menghasilkan replika landskap alam semula jadi di kediamannya. FOTO Hafiz Sohaimi
EDDIE Putera menghasilkan replika landskap alam semula jadi di kediamannya. FOTO Hafiz Sohaimi