DIORAMA mengenai rumah Felda yang dilihat dalam pelbagai posisi.
DIORAMA mengenai rumah Felda yang dilihat dalam pelbagai posisi.
Abnor Hamizam Abd Manap

DUA karya diorama dihasilkannya iaitu stor kebun pisang dan bangsal getah pernah dibeli pengarah terkenal, Allahyarham Mamat Khalid mendorong Mohd Rafae Ishak, 49, terus bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak seni itu.

Diorama adalah model tiga dimensi (3D) yang mengandungi pelbagai objek bagi menggambarkan situasi sebenar bertujuan menceritakan peristiwa sejarah selain dijadikan koleksi seni di dalam rumah malah turut dipamerkan di muzium.

Kebiasaan ia terdapat dalam pelbagai bentuk, saiz dan diorama biasanya dibina di atas tapak khas selain pembuatnya perlu kreatif dalam menghasilkan karya yang menarik.

Mohd Rafae yang berasal dari Kampung Jerjak, Kuala Pilah, Negeri Sembilan mula berjinak-jinak dalam bidang itu sebaik negara dilanda pandemik Covid-19.

"Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan memberi saya peluang dan banyak masa terluang hingga satu hari terlihat di YouTube diorama dari luar negara.

"Saya menjadi teruja dan mahu mencuba menghasilkan diorama mengikut cita rasa sendiri apatah lagi banyak kisah yang boleh diangkat menjadi karya diorama," katanya yang menetap di Putrajaya.

Katanya pada peringkat permulaan, ada rakan Facebook memintanya menyiapkan replika rumah Felda dan percubaan pertama itu berjaya namun sedikit kecewa apabila rakan tidak jadi membelinya.

Mohd Rafae mengakui dari kekecewaan itu, dia mendapat ilham untuk membuat karya diorama berkaitan rumah Felda yang mempunyai lebih banyak prop tambahan seperti bilik air, reban ayam, dapur kayu, pokok dan lain-lain.

Kenangan ketika berkunjung ke rumah bapa saudara di Felda Pasoh Tiga banyak membantunya dalam menyiapkan diorama rumah Felda berkenaan, malah lebih menarik berbanding replika yang pernah dihasilkannya sebelum ini.

"Saya kemudian meneruskan minat menghasilkan pelbagai karya diorama antaranya tandas usang dan karya itu pernah menang tempat ketiga menerusi pertandingan yang dianjurkan kumpulan diorama. Selepas itu saya terus serius menghasilkan pelbagai karya yang mempunyai kaitan dengan persekitaran masyarakat negara ini.

"Kebanyakan karya dihasilkan berdasarkan pengalaman saya sendiri ketika zaman kanak-kanak dan remaja seperti stor kebun pisang di mana ketika remaja saya pernah mengambil upah menebas rumput di kebun pisang milik jiran.

TANDAS usang yang pernah memenangi tempat ketiga dalam pertandingan diorama.
TANDAS usang yang pernah memenangi tempat ketiga dalam pertandingan diorama.

"Diorama taman permainan kanak-kanak pula berdasarkan situasi ketika Covid-19 melanda apabila taman permainan tidak dibenarkan digunakan kanak-kanak. Alhamdulilah karya itu dibeli oleh seseorang," katanya.

Bercerita lanjut, karya bangsal getah adalah ilham daripada bangsal getah di belakang rumah arwah datuknya di kampung dan menyimpan banyak kenangan.

Katanya dia ketika itu terkejut apabila arwah Mamat Khalid sendiri menghantar permintaan menjadi rakan Facebook sebelum meminta saya datang menyertai rakaman sebuah program di mana arwah ketika itu menjadi pengacara.

Menurutnya usai rakaman, arwah sendiri datang berjumpa dengannya sebelum mahu membeli karya stor kebun pisang dan bangsal getah dengan nilai RM1,800 selain membayar tunai tanpa banyak soal.

Mohd Rafae berkata, namun dia sedikit terkilan kerana tidak sempat memenuhi permintaan arwah yang mahu dia menyiapkan diorama rumah moyang yang ditempah arwah berikutan meninggal dunia pada 24 Oktober 2021.

DIORAMA bangsal getah dibeli arwah Mamat Khalid yang tertarik dengan hasil kerja Mohd Rafae.
DIORAMA bangsal getah dibeli arwah Mamat Khalid yang tertarik dengan hasil kerja Mohd Rafae.

Katanya, menghasilkan karya diorama bukan kerja mudah kerana ia perlu fokus dan teliti selain memastikan emosi diri dalam keadaan baik.

"Bahan-bahan bagi menghasilkan karya diorama mudah diperoleh di kedai dan kos bahan bergantung kepada karya yang mahu dihasilkan mengikut jenis dan saiz dan disebabkan itu karya diorama boleh mencecah ribuan ringgit.

"Alhamdulilah, ketika ini isteri dan keluarga banyak memberi sokongan untuk saya terus bergiat dalam menghasilkan lebih banyak karya diorama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 6:30 AM