PAMERAN Solo, Paul Nikson yang diadakan di Rumah Lukis, Hulu Kelang.
PAMERAN Solo, Paul Nikson yang diadakan di Rumah Lukis, Hulu Kelang.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Melangkah saja masuk ke Rumah Lukis, Hulu Klang, penulis ‘disambut’ enam lukisan besar yang menggamit pengunjung untuk menghampirinya selain cuba mentafsir mesej di sebalik lakaran berkenaan.

Sudah tentu ia mencetuskan pelbagai tafsiran kerana karya genre abstrak itu menuntut pengunjung berfikir secara mendalam.

Karya itu dihasilkan pelukis, Paul Nickson Atia menggunakan dakwat Cina di atas kanvas turut memperlihatkan peningkatan kemahiran dan teknik melukis yang sebelum ini berkarya di atas kertas sebagai medium utamanya.

Gabungan ilmu dan pengalaman sebagai arkitek banyak membantunya menghasilkan karya menarik dengan cara tersendiri sekali gus mampu memukau pengunjung yang melihatnya.

PAMERAN solo kedua Paul Nickson.
PAMERAN solo kedua Paul Nickson.

Semua 46 karya Paul Nickson boleh dihayati dalam pameran amal solonya berjudul Jari Berlari: Tlinjuk Bi’koduh di Galeri Rumah Lukis.

Paul Nickson berkata, pembabitannya dalam bidang seni visual bermula sejak lima tahun lalu kerana gemar melakar gambaran lokasi yang dikunjunginya ketika bercuti di atas kertas.

Katanya, dia gemar meninjau lorong belakang bangunan di sekitar bandar raya Kuala Lumpur dan Kuching, Sarawak kerana terdapat banyak bangunan lama.

ANTARA himpunan karya pelukis mengenai bangunan yang terdapat di bandar raya Kuala Lumpur dan Kuching.
ANTARA himpunan karya pelukis mengenai bangunan yang terdapat di bandar raya Kuala Lumpur dan Kuching.

“Tempat ini (lorong belakang bangunan) memiliki keindahan dan keunikan tersendiri yang perlu diteroka.

“Saya sangat suka melukis gerai makanan atau kopitiam kerana dapat melihat pelbagai ragam masyarakat berbilang kaum yang mengunjungi gerai berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dia akan melukis di mana-mana saja termasuk di tempat awam apabila melihat objek menarik kerana memberikannya ilham untuk berkarya.

“Masyarakat setempat menjadi sumber saya berkarya kerana kebiasaannya mereka akan berkongsi pelbagai maklumat termasuk sejarah sesuatu tempat atau bangunan lama,” katanya.

LUKISAN di atas kanvas adalah medium terbaru karya Paul Nickson.
LUKISAN di atas kanvas adalah medium terbaru karya Paul Nickson.

Semua karya Paul Nickson berkonsepkan lukisan kontemporari moden. Ia dihasilkan menggunakan ranting kayu dan hanya memperlihatkan dua ton warna iaitu hitam serta putih kerana pada masa dahulu seni visual menggunakan tanah untuk melukis.

Sementara itu pemilik Galeri Rumah Lukis, Mohamad Pital Maarof berkata, pameran itu membawa penonton melihat proses lukisan Paul Nickson dihasilkan.

“Paul Nickson mula melukis di atas kertas dan kini beralih kepada kanvas yang menunjukkan kemajuannya dalam bidang seni visual.

“Sebanyak 30 peratus daripada jualan karya akan disumbangkan kepada pertubuhan kebajikan di Sarawak,” katanya.

PERALATAN yang digunakan Paul Nickson untuk melukis.
PERALATAN yang digunakan Paul Nickson untuk melukis.

Pameran Jari Berlari

• ARTIS: 1

• KARYA: 46

• TARIKH: 1 September hingga 15 Disember 2018

• MASA: 2 hingga 6 petang (dibuka hujung minggu menerusi temujanji di Instagram)

• TEMPAT: Galeri Rumah Lukis, 11 Jalan AU5D/4, Lembah Keramat, Hulu Klang.

• INSTAGRAM: rumah.lukis

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 10:50 AM