MAZIAH Majid, 46, menunjukkan tempat sujud terakhir arwah ibu Tijah Deraman, 90, sebelum ditemui meninggal dunia di kediamannya di Felda Chalok Barat, Permaisuri, Setiu. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
MAZIAH Majid, 46, menunjukkan tempat sujud terakhir arwah ibu Tijah Deraman, 90, sebelum ditemui meninggal dunia di kediamannya di Felda Chalok Barat, Permaisuri, Setiu. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


BERKAT amalan solat sunat dan mengaji Al-Quran, warga emas dijemput Ilahi dalam keadaan bersujud selepas selesai menunaikan solat Subuh awal pagi tadi.

Difahamkan mangsa, Tijah Deraman, 90, dari Felda Chalok Barat, yang masih lengkap mengenakan telekung ditemui meninggal dunia, 7.45 pagi dalam biliknya.

Anaknya, Maziah Majid, 46, berkata, dia mengejutkan ibunya kira-kira 5 pagi tadi untuk mandi dan solat Subuh.

"Saya sempat bertanya pada emak mahu makan apa untuk sarapan pagi selepas Subuh tetapi dia minta tunggu sehingga selesai solat Dhuha," katanya ketika ditemui, hari ini.

Dia berkata, sewaktu mahu ke bilik air pada 7.30 pagi sebelum keluar berniaga, dia sempat melihat ibunya sedang bersujud di tempat solat dan tidak mengesyaki apa-apa.

"Namun apabila keluar dari bilik air kira-kira 7.40 pagi, saya hairan kenapa emak masih tidak bangun dari sujud.

"Saya mula rasa tidak sedap hati, segera mendekatinya dan memegang badannya masih terasa panas tetapi denyutan nadi sudah tiada," katanya.

Maziah berkata, jika diikutkan tahap kesihatan ibunya baik dan terkawal walaupun perlu mengambil beberapa ubat untuk sakit jantung dan darah tinggi.

"Emak seorang yang sangat mementingkan solat di awal waktu selain rajin mengerjakan solat sunat dan mengaji setiap hari.

"Walaupun usianya sudah lanjut, namun berkat amalan sejak dari muda itu dia tidak nyanyuk serta matanya terang tanpa perlu menggunakan cermin mata untuk mengaji," katanya.

Maziah berkata, ibunya pernah terjatuh dalam bilik air kira-kira lima tahun lalu sehingga tidak dapat berjalan dan terpaksa bergantung kepada bantuan orang lain untuk bergerak.

"Disebabkan amalan rajin bersolat dan berdoa meminta supaya Allah SWT pulihkan kesihatannya, Alhamdulillah tiga tahun lalu dia boleh berjalan seperti biasa.

"Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya secara baik dan arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chalok Barat selepas Zohor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 3:03 PM