MAZIAH memangku anaknya, Nur Qistina.
MAZIAH memangku anaknya, Nur Qistina.

Georgetown: Hospital ibarat rumah kedua buat Nur Qistina Syahirah Erwan, 2, selepas disahkan menghidap penyakit jantung dan paru-paru sejak dilahirkan.

Malah, dalam usia semuda itu, kanak-kanak berkenaan sudah menjalani tiga pembedahan kerana kedua-dua penyakit berkenaan dan lebih malang, anak kepada pasangan Maziah Abdul Wahab, 27, dan Erwan Hoosnai, 33, itu perlu menjalani pembedahan keempat pada awal tahun depan demi meneruskan kelangsungan hidup.

Maziah berkata, Nur Qistina anak kedua daripada dua beradik dan kini berulang-alik ke hospital 20 kilometer dari rumah untuk rawatan susulan setiap bulan.

“Dia sudah tiga kali menjalani pembedahannya sejak dilahirkan, namun masih tidak dapat bernafas dengan sempurna. Memandangkan keadaannya yang masih tidak stabil dan tidak dapat bernafas dengan sempurna, doktor mencadangkan untuk membuat satu lagi pembedahan pada awal Februari depan.

“Pembedahan itu dijangka menelan kos ratusan ribu ringgit dan kami bimbang tidak mampu membiayainya. Kami bersyukur apabila Institut Jantung Negara (IJN) akan menanggung 90 peratus kos pembedahan berkenaan manakala selebihnya kami tanggung, tetapi masalahnya kami sukar untuk mencari bayaran 10 peratus itu,” katanya yang kini tinggal di flat peninggalan arwah ibu bapanya di Lintang Bayan 8, Seri Delima, Sungai Ara, di sini.

Maziah berkata, suaminya hanya bekerja sebagai pemandu lori manakala dia pula tidak dapat keluar membantu mencari rezeki kerana perlu menjaga dua anaknya yang masih kecil sambil Qistina pula perlu penjagaan rapi supaya dapat bernafas dengan lancar.

“Jika saya keluar bekerja, tiada siapa dapat mengawasi anak kami kerana ibu dan bapa saya sudah meninggal dunia. Suami hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan yang cukup-cukup untuk keperluan harian kami saja.

“Suami baru enam bulan bekerja kerana sebelum ini bekerja sekejap-sekejap saja berikutan kerap menghantar Qistina ke hospital untuk pemeriksaan.

“Kadangkala gajinya tidak cukup membeli lampin dan susu Qistina kerana dia sangat sensitif dan tidak boleh minum susu sebarangan. Saya pernah cuba memberikan susu lebih murah untuk Qistina, tetapi dia jatuh sakit dan cirit-birit serta pernah ditahan di wad selama dua minggu,” katanya.

Menurutnya, dia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM200 sebulan bagi menampung kos perubatan Qistina, namun ia tidak mencukupi.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Maziah di talian 017-4390552 atau ke rumahnya di No 3-3-56, Lintang Bayan 8, Seri Delima, Sungai Ara, Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:11 AM