MAZIAH bersama kucing kesayangan ketika menyambut hari lahir Raisya.
MAZIAH bersama kucing kesayangan ketika menyambut hari lahir Raisya.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Kempas: "Selepas Raisya lahir, Opie (kucing peliharaan) seperti cemburu dan tiga bulan kemudian baru Opie dapat 'menerima' Raisya. Namun sekarang Raisya tidak sihat tetapi Opie masih setia menemaninya," kata Maziah Mohd Saarif.

Maziah, 28, wanita mendapat perhatian selepas selalu berkongsi video mengenai anak tunggalnya, Nur Raisya Mohd Iskandar Zulkarnain, 3, bersama kucing kesayangan di TikTok.

Video perkongsian suri rumah itu meraih tontonan ramai dan netizen turut gembira dan terharu melihat keakraban Nur Raisya atau mesra disapa Raisya dan Opie apatah lagi melihat kesetiaan kucing di sisi Raisya yang ketika ini terlantar.

Maziah berkata, seluruh badan anak tunggalnya itu kaku akibat saraf tidak berfungsi Nur Raisya disahkan mati otak selepas lemas akibat terjatuh kolam ketika dia dan keluarga mentua bercuti di Terengganu pada November 2021.

"Saya bela Opie sejak berusia dua minggu. Saya dan suami (Mohd Iskandar Zulkarnain Abdullah Zawawi, 28) sudah anggap Opie seperti anak.

"Opie dan Raisya selalu tidur bersama dan apabila Raisya sakit kami terpaksa tinggalkan Opie di bawah jagaan adik di kampung suami di Kelantan, tetapi Opie hilang selera makan dan banyak termenung (kerana rindukan mereka dan Raisya)," katanya yang tinggal di Kempas, Johor Bharu.

Katanya, apabila kembali ke Kempas dan turut membawa Opie, kucing itu seperti pelik melihat Nur Raiysa terbaring dan tidak bermain dengannya kerana sebelum ini mereka selalu bermain kerana anaknya sudah boleh berjalan.

"Pada mulanya kami tak beri Opie mendekati Raisya kerana keadaannya itu, tetapi ada suatu hari Opie tetap lalu di tepi tilam anak dan duduk lama melihat Raisya dan sejak itu dia baring tepi tilam temankan Raisya.

"Sebelum ini saya kongsi video Raisya dan Opie ketika anak berusia tiga bulan dan mula nampak rapat, tetapi tak sangka video itu mendapat perhatian ramai. Sejak itu ramai yang minta video keletah mereka.

"Tetapi tidak sangka keadaan berubah seperti ini namun saya masih berkongsi video Opie dan Raisya kerana saya lihat kasih sayang Opie pada adiknya (Raisha) tetap tak berubah dan kami terharu melihatnya," katanya selalu berkongsi perkembangan anak kerana pengikutnya kerap bertanya khabar anaknya itu.

Mengimbas kejadian itu, Maziah berkata, ketika itu mereka bersiap serta berkemas untuk pulang, manakala anak pula menyusu di ruang tamu dan selepas minum susu anaknya kemudian keluar serta masuk bilik kecuali biliknya.

Katanya, suami yang tidak mendengar suara dan melihat Nur Raisya segera mencarinya sebelum melihat anaknya itu sudah terapung dalam kolam di luar rumah sebelum mengangkatnya dan memberi bantuan pernafasan serta dibawa ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 7:01 AM