EZAD bersama dengan ibunya (kiri). FOTO IHSAN EZAD LAZIM
EZAD bersama dengan ibunya (kiri). FOTO IHSAN EZAD LAZIM
Ridzuan Abdul Rahman


"MAK bangchik balik ni."

Itu perkongsian penyanyi, Ezad Lazim yang memaklumkan ibunya, Rosadah Jahaya, 69, meninggal dunia di rumah mereka di Taman Wira, Mergong, Alor Setar, Kedah, jam 6.30 pagi hari ini.

Kakak kedua penyanyi itu, Rozaimah Mohd Lazim berkata, ibu mereka rebah dalam bilik air ketika mahu mengambil air sembahyang untuk menunaikan solat Subuh.

"Emak tiada apa-apa sakit dan kalau ada pun hanya darah tinggi tapi terkawal. Seperti biasa, pagi ini dia bangun untuk solat subuh.

"Adik bongsu kami, Mohd Rizal ketika itu sedang solat dan terdengar namanya dipanggil oleh emak.

"Dia segera mendapatkan emak dan mendapati emak jatuh dan tidak sedarkan diri dalam bilik air," katanya kepada Harian Metro.

Rozaimah yang bekerja di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara negeri Kedah berkata, adiknya segera menghubungi doktor dan ambulans bagi mendapatkan bantuan.

"Doktor yang tiba tak lama kemudian mengesahkan emak sudah tiada. Kami segera memaklumkan kepada Ezad dan dia kini dalam perjalanan pulang. Dia sempat balik menjenguk emak selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

"Jenazah ibu akan dikebumikan sama tempat dengan arwah ayah iaitu di Tanah Perkuburan Taman Uda, Alor Setar selepas Asar," katanya.

Semalam pula, genap setahun pemergian ayah Ezad iaitu Mohd Lazim Ismail yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada usianya 74 tahun.

Rosadah meninggalkan empat anak iaitu Rozita, Rozaimah, Mohd Rohaizad dan Mohd Rizal serta 10 cucu dan seorang cicit yang bakal dilahirkan pada hujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 10:23 AM