Nazdy Harun


Kuala Berang: "Bermula hanya suka-suka dengan menggunakan tepung gandum sebanyak dua Kilogram (kg) bagi menghasilkan roti sekaya yang kemudiannya dibakar dalam tin minyak untuk dinikmati seisi keluarga.

"Namun lain pula jadinya apabila kini ia bertukar menjadi perniagaan selepas jiran tetangga mengetahui keunikan roti berkenaan," kata Maziah Abd Rahman, 34, dari Kampung Bukit Gemuruh di sini.

Menurutnya, ibunya, Fatimah Salleh, 70, sememangnya berkebolehan membuat roti sekaya dan pernah berniaga sebelum ini di Marang, namun selepas berpindah ke sini ibunya beralih melakukan kerja di kebun sawit.

Katanya, selepas sekian lama tidak merasai kenikmatan roti sekaya yang dibakar di dalam tin, dia sekeluarga mengambil keputusan untuk membuatnya sendiri dan tidak sangka ia menjadi perhatian penduduk setempat hinggakan dia sendiri tidak dapat merasainya kerana mengagihkan roti itu kepada jiran-jiran.

"Saya menerima maklum balas yang baik dan penduduk juga meminta kami menjualnya sebelum saya bersama ibu mengambil keputusan untuk berniaga.

"Ingatkan penduduk setempat saja yang beli namun sangkaan saya meleset kerana pelanggan datang dari seluruh pelusuk negara dan ada yang semata-mata datang ke sini hanya untuk mendapatkan roti sekaya ini," katanya.

Menurutnya, bagi memenuhi permintaan dia menggunakan 30 hingga 60 kg tepung gandum setiap hari yang boleh menghasilkan kira-kira 1,200 hingga 2,400 biji roti dan proses menguli tepung dilakukan secara manual tanpa bantuan mesin seawal 4 pagi.

Katanya, proses membuat sekaya juga dilakukan secara manual dengan menggunakan 120 biji telur ayam 30 biji telur itik dan 30 biji kelapa dikacau di dalam kuali menggunakan dapur kayu selama lapan jam yang boleh menghasilkan 10 kg sekaya.

Maziah berkata, dia perlu menyewa lori dengan kadar sewaan RM450 untuk ke Bachok, Kelantan bagi mengambil bekalan sabut yang dibeli dengan harga RM350.

"Proses membakar roti di dalam tin minyak memerlukan sabut kelapa, arang dan tempurung dan kerja membakar roti dilakukan adik (Hamizan Omar).

"Roti sekaya tin minyak ini saya usahakan bersama ibu dan adik sejak 2019 dan sambutan boleh dikatakan tidak menang tangan hinggakan ada pelanggan yang merajuk kerana terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama untuk memperolehnya.

Menurutnya, tin minyak yang digunakan berfungsi sebagai oven dan bahagian bawah dan atas tin akan diletakkan bara api bagi menjamin roti masak dengan sekata.

Katanya, dia tidak menyangka daripada suka-suka untuk menikmati roti tin minyak kini ia bertukar kepada perniagaan yang menghasilkan pendapatan buat keluarganya.

Pelanggan, Rosnah Roslan, 45, berkata, roti yang dibakar menggunakan kaedah di dalam tin lebih sedap selain sedikit bau asap melekat pada roti yang membuatkan bangkitnya aroma roti itu.

"Saya akui sememangnya enak kerana sekaya di dalamnya tidak cair malah terasa lemaknya kerana difahamkan sekaya itu dihasilkan sendiri oleh pemiliknya.

"Bukan mudah untuk mendapatkan roti yang dibakar di dalam tin, rasanya memang tidak ada atau sukar untuk ditemui kerana penghasilan roti biasanya dilakukan secara moden," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 1:16 PM