LAPORAN portal berita Harian Metro, 25 Februari lalu
LAPORAN portal berita Harian Metro, 25 Februari lalu
Ifwan Tun Tuah


WALAUPUN menyedari peluang untuk membawa pulang anaknya yang dipenjarakan selama 20 tahun di Nepal kerana menjadi keldai dadah amat tipis, Jamaluddin Malek, 66, bertekad untuk tidak berputus asa dan terus berusaha.

Dia dengan sokongan Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon, giat mengumpulkan tanda tangan orang ramai bagi menyokong petisyen meminta kerajaan negara itu mempertimbangkan untuk membenarkan anak sulungnya, Marina, 39, menjalani baki hukuman penjara 17 tahun lagi di Malaysia.

“Saya mula mengumpulkan tandatangan orang ramai di sekitar kawasan perumahannya di Ampangan, Seremban, sejak bulan lalu sebelum bertemu dengan Chong yang mencadangkan usaha itu turut dilakukan secara online bagi mendapat lebih banyak sokongan.

“Saya tahu usaha ini sukar, namun dimaklumkan ia tidak mustahil. Jadi sebagai bapa, saya akan terus berusaha dengan apa saja cara untuk membawanya pulang,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan MCA Parlimen Seremban, hari ini.

Pada 6 April 2015, Harian Metro melaporkan Marina ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan (TIA), Nepal selepas didapati cuba menyeludup kokain seberat 11 kilogram yang disembunyikan di dalam lima komputer riba.

Media pada 25 Februari lalu pula melaporkan, Jamaluddin merayu supaya kerajaan Malaysia melakukan sesuatu bagi membawa pulang anaknya itu yang sudah menjalani hukuman penjara selama tiga tahun daripada keseluruhan 20 tahun.

Harian Metro turut melaporkan, pengamal undang-undang, Paul Krishnaraja bagaimanapun berkata, kerajaan Malaysia tiada hak mencampuri urusan pelaksanaan hukuman berkenaan kerana setiap negara mempunyai kedaulatan undang-undang tersendiri dan perlu dipatuhi semua orang.

Menceritakan lanjut, Jamaluddin berkata, anaknya itu pergi ke Nepal bersama suami dan anak lelaki mereka berusia lapan tahun untuk bercuti, pada pertengahan 2015.

“Selepas beberapa hari, dia meminta suami dan anaknya pulang terlebih dahulu kerana dia ada urusan lain. Namun, beberapa hari selepas itu dia ditahan pihak berkuasa Nepal kerana didakwa membawa dadah sebelum dipenjarakan.

CHONG (kiri) menurunkan tandatangan bagi menyokong petisyen rayuan membawa pulang anak perempuan Jamaluddin pada sidang media di Bilik Gerakan MCA Parlimen Seremban, hari ini. FOTO Hasriyasyah Sabudin
CHONG (kiri) menurunkan tandatangan bagi menyokong petisyen rayuan membawa pulang anak perempuan Jamaluddin pada sidang media di Bilik Gerakan MCA Parlimen Seremban, hari ini. FOTO Hasriyasyah Sabudin

“Selepas mengumpul wang selama tiga tahun, saya akhirnya dapat melawat Marina awal Februari lalu dan terlalu sedih melihat keadaannya yang kurus dan tidak sihat, selain terlalu merindui suami serta anak tunggal mereka,” katanya.

Katanya, Marina sudah insaf dan amat menyesal dengan perbuatannya yang menyebabkan seluruh ahli keluarga mereka bersedih, selain anak lelakinya terpaksa membesar tanpa kasih sayang seorang ibu.

Sementara itu, Chong berkata, petisyen itu diharap dapat membuka pintu rundingan antara pihaknya dengan kerajaan Nepal.

“Kita berharap ramai rakyat Malaysia memberi sokongan kepada usaha ini seterusnya menarik perhatian kerajaan Nepal memulakan perbincangan mengenai apa boleh dilakukan seterusnya.

“Pada masa saya, kita meminta rakyat Malaysia mengambil iktibar dengan kejadian itu dan tidak terpedaya menjadi keldai dadah.

“Orang ramai boleh menandatangani petisyen itu di pautan https://www.change.org/p/anak-malaysia-petisyen-kepada-kedutaan-nepal-di....

Berita berkaitan

'Tolong bawa anak saya pulang'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 5:39 PM