MOHD Nasir (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Rosnani di Flet Taman Desa Tebrau, Johor Bahru, hari ini. FOTO ihsan MAIJ.
MOHD Nasir (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Rosnani di Flet Taman Desa Tebrau, Johor Bahru, hari ini. FOTO ihsan MAIJ.
Mary Victoria Dass


RUTIN hariannya berjalan sejauh lima kilometer dari Taman Desa Tebrau ke Taman Johor Jaya, Johor Bahru seawal 5 pagi bagi mencari rezeki dengan bekerja sebagai pembantu pasar demi menyara anak dan cucunya.

Begitulah tanggungjawab dipikul ibu tunggal, Rosnani Bakri, 43, yang kini bukan saja menyara seorang anak perempuan berusia 20-an, malah dua cucunya berusia tiga dan lima tahun.

Wakil Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Mohd Nasir Ishak berkata, kehidupan serba kekurangan wanita berkenaan menerima perhatian pihaknya, baru-baru ini.

Beliau berkata, pendapatan wanita itu hanya RM1,000 sebulan menyebabkannya terpaksa bekerja sampingan pada hari cuti setiap Selasa dengan mencuci rumah kenalan bagi mendapatkan pendapatan tambahan.

“Pendapatan sampingannya tidak banyak, namun amat bermakna untuk dirinya bagi menampung kos membeli susu cucu serta perbelanjaan dapur.

“Anak perempuannya tidak mampu bekerja kerana mempunyai masalah kesihatan dan dalam proses bercerai dengan suaminya sejak tahun lalu,” katanya ketika mengunjungi rumah Rosnani di Taman Desa Tebrau, Tebrau, Johor Bahru, hari ini.

Mohd Nasir berkata, wanita berkenaan mempunyai dua anak lelaki, namun mereka tinggal berasingan.

“Saya difahamkan anak kedua lelakinya sudah berumah tangga dan memikul tanggungjawab menyara keluarga dengan hanya bekerja biasa manakala anak lelaki bongsunya baru bekerja dan tinggal di Melaka.

“Sehingga kini wanita berkenaan gagal memohon bantuan kerana tidak mengetahui saluran, namun meneruskan kehidupan atas usaha sendiri tanpa mengharapkan ihsan orang lain.

“Sekarang ini, wanita itu berharap permohonan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pelangi Indah dipertimbangkan kerana usianya semakin meningkat dan cucunya memerlukan tempat tinggal lebih selesa,” katanya.

Menurutnya, dengan pendapatan RM1,000 sebulan, Rosnani terpaksa membayar sewa rumah sebanyak RM550 sebulan di flat Taman Desa Tebrau manakala baki RM450 digunakan untuk membayar bil dan membeli barang dapur.

MAIJ turut menyampaikan sejumlah bantuan kewangan, barangan dapur dan menyerahkan borang permohonan bantuan sara hidup.

Orang ramai yang ingin membantu Rosnani boleh salurkan kepada akaun Bank Simpanan Nasional 01148-41-00005351-4.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 9:50 PM