KEDIAMAN suspek yang diserbu. Gambar kecil, serbuan turut disertai anggota ATM. FOTO NSTP
KEDIAMAN suspek yang diserbu. Gambar kecil, serbuan turut disertai anggota ATM. FOTO NSTP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Seorang pembekal daging haiwan liar secara haram ‘tergamam’ apabila kediamannya di Lanchang, Pahang, diserbu beberapa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lengkap bersenjata senapang Colt M16A1.

Anggota ATM adalah sebahagian pasukan keselamatan yang menyertai Rangkaian Operasi Penguatkuasaan Biodiversiti 1Malaysia (1MBEON) bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) bagi membenteras kegiatan pemburuan haram dan penjualan haiwan dilindungi.

Ketua Pengarah PERHILITAN Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Progam 1MBEON Siri 2/2018 itu dibantu pihak ATM susulan ancaman keselamatan nyawa terhadap pegawai PERHILITAN ketika bertugas sebelum ini.

Dalam operasi jam 1.30 petang kelmarin, pegawai PERHILITAN bersama ATM bertindak menahan seorang lelaki tempatan berusia 50-an yang mendiami rumah berkenaan.

Menurutnya, siasatan lanjut kemudian menemui pelbagai daging hidupan liar yang disembunyi suspek di dalam beberapa peti sejuk di dalam kediamannya.

“Antara daging haiwan liar dilindungi ditemui adalah tenggiling, babi hutan dan labi-labi yang sudah siap dibungkus rapi.

“Turut ditemui bahagian hidupan liar disyaki tupai dan katak disimpan di dalam tiga peti sejuk milik suspek,” katanya.

PELBAGAI daging hidupan liar yang disembunyi suspek di dalam  peti sejuk. FOTO NSTP
PELBAGAI daging hidupan liar yang disembunyi suspek di dalam peti sejuk. FOTO NSTP

Kadir berkata, pihaknya bertindak merampas semua daging hidupan liar itu selain menyoal siasat suspek yang dipercayai bersekongkol dengan pemburu haram.

“Semua hidupan liar itu disita untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 710).

“Jika bersabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sementara itu dalam operasi berasingan, pihak PERHILITAN turut merampas 14 ekor burung Hwamei (Garrulax conorus) yang dimiliki secara haram seorang penjual haiwan peliharaan di Ipoh, Perak.

Kadir berkata, dalam pemeriksaan jam 10.30 pagi Selasa lalu, pihaknya mendapati lelaki berusia 40-an itu memilik semua burung dilindungi itu tanpa permit sah.

Menurutnya, peniaga itu kemudian ditahan untuk soal siasat sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh.

“Semua burung yang dirampas dibawa ke Pejabat PERHILITAN Ipoh untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 6:20 AM