PELBAGAI jenis daging hidupan liar dilindungi yang dirampas Perhilitan dari rumah seorang lelaki tempatan.
PELBAGAI jenis daging hidupan liar dilindungi yang dirampas Perhilitan dari rumah seorang lelaki tempatan.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: 'Misteri' kewujudan peti sejuk usang yang diletakkan di hadapan sebuah rumah membongkar kegiatan penghuninya yang bergiat aktif sebagai pembekal daging eksotik haram.

Difahamkan, suspek berusia 40-an menyembunyikan pelbagai bahagian hidupan liar antaranya daging babi, daging dan lemak biawak selain pelbagai daging hidupan lain di kediamannya.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan itu dibongkar hasil Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dilakukan pihaknya di sebuah kediaman di Taman Mambang Diawan, Kampar, Perak pada jam 1 tengah hari kelmarin.

Menurutnya, lima anggota Perhilitan dibantu dua anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) bertindak melakukan pemeriksaan terhadap sebuah rumah di lokasi itu.

"Pihak kami mengesan kewujudan peti sejuk besar diletakkan di luar pintu masuk rumah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan terhadap peti sejuk itu menemui beberapa spesies hidupan liar dilindungi yang disimpan di dalam peti sejuk beku berkenaan," katanya.

Beliau berkata, antara yang ditemui adalah daging babi hutan diisi di dalam karung plastik warna merah seberat 50.7 kilogram (kg).

"Turut ditemui daging biawak di dalam karung plastik seberat lebih kurang 26.8kg.

"Selain itu pihak Perhilitan menemui sebahagian lemak biawak, dua taring babi hutan selain alat penimbang yang disimpan suspek di kediaman itu," katanya.

Beliau berkata, semua bahagian hidupan liar itu disita dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar untuk siasatan lanjut

"Kes itu kini disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

"Kesemua barang kes yang dirampas dibawa ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai, Perak untuk tindakan lanjut," katanya.

Kadir berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagaimana bahagian hidupan liar dilindungi itu diperolehi dan siapa pelanggan kepada suspek.

"Saya yakin daging hidupan liar diburu secara haram ini mahu dibekalkan kepada restoran tempatan yang menyajikan hidangan eksotik," katanya.

Julai lalu, seorang pemilik sebuah restoran di Bentong, Pahang, turut diserbu sepasukan pegawai Perhilitan selepas disyaki menjual hidangan daging buaya.

Hasil pemeriksaan dilakukan, pihak Perhilitan menemui empat bungkus disyaki berisi daging buaya di dalam peti sejuk di premis itu.

Pemilik premis berusia 48 tahun gagal menunjukkan sebarang lesen sah memiliki daging haiwan dilindungi itu dari Jabatan Perhilitan.

Sementara itu pada Jun lalu, tiga lelaki tempatan turut ditahan pihak berkuasa selepas disyaki terbabit dengan sindiket menjual hidupan liar tanpa lesen dan pemilikan senjata api buatan sendiri.

Suspek dipercayai pemburu haram ditahan dalam empat serbuan berasingan di Bukit Merah dan Gerik, Perak.

Sejumlah tiga senjata api, 72 ekor burung murai batu dan 47 sangkar burung yang dianggarkan bernilai RM694,500 dirampas dalam operasi itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 8:01 AM