Asrizal Aris


 

"KALAULAH saya tahu jadi viral (tular), saya pakai cantik-cantik semasa nyanyi dalam video itu," kata Khamso Daud, 38, individu yang tular melalui videonya mendodoikan anak dengan lagu Tepuk Amai Amai versi Kurt Cobain.

Video itu menyaksikan aksi sempoi Khamso menyanyikan lagu itu dengan rentak muzik 'The Man Who Sold The World' di hadapan anak bongsunya, Zulfahmi Hadi, setahun lapan bulan, yang sedang menyusu botol.

Khamso yang lebih mesra dengan panggilan Buwang berkata, lagu yang dinyanyikan itu adalah lagu kegemarannya sejak lebih 20 tahun lalu ketika dia belajar bermain gitar bersama rakan.

"Zaman 90-an dulu, kod lagu Kurt Cobain ini adalah lagu wajib untuk budak yang baru belajar main gitar. Tapi masa itu, kami tidak tahu lirik lagu itu, jadi kami padankan dengan lagu Tepuk Amai Amai.

"Jadi sampai sekarang saya nyanyi lagu itu untuk anak saya. Tak sangka apabila saya rakam dan kongsikan dengan rakan di Facebook, ia menjadi viral (tular)," katanya ketika dihubungi.

Menurut bapa empat anak itu, niatnya hanya untuk menghiburkan anak bongsunya dan rakaman itu adalah spontan tanpa mengira latar belakang dan pakaian yang dipakai.

Menariknya, hobi menyanyi mencetuskan idea untuk Buwang menjadikan dua daripada lima kedai gunting rambut miliknya menawarkan aktiviti karaoke kepada pelanggan.

Buwang berkata, kelainan itu dibuat sejak 1 Januari lalu di Buwang Barber Shop cawangan di Bandar Kuching dan Petrajaya yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

"Hampir setiap hari pasti ada pelanggan yang 'sporting' untuk berkaraoke dan pada saya gunting rambut sambil karaoke ini mungkin yang pertama di Malaysia.

"Selain karaoke, kami menyediakan tontonan filem sekiranya tiada pelanggan yang mahu menyanyi dan tayangan kartun untuk pelanggan kanak-kanak.

"Bukan sahaja yang digunting rambut, orang yang datang teman pun boleh berkaraoke juga. Semua ini percuma tanpa sebarang caj tambahan," katanya yang memasang impian untuk membuka cawangan di Semenanjung.

Menurut Buwang, biarpun menyediakan skrin LCD pada setiap kerusi gunting rambut, hanya seorang sahaja yang boleh berkaraoke pada satu masa sementara yang lain perlu menunggu giliran lagu seterusnya. 

"Saya juga sudah maklumkan kepada pekerja supaya berhenti menggunting rambut ketika pelanggan sedang menyanyi pada bahagian 'pithcing' tinggi untuk mengelakkan insiden tidak diingini ketika menggunting.

"Alhamdulillah, kebetulan video saya viral ketika baru melancarkan kedai gunting rambut yang menawarkan karaoke itu," katanya yang mempunyai 13 tahun pengalaman menggunting rambut.

Video yang dimuat naik Isnin lalu menjadi tular di laman sosial dan menerima pelbagai reaksi netizen serta menerima lebih 500,000 tontonan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 10:30 PM
Petikan video Buwang mendodoikan  anak dengan lagu Tepuk Amai Amai versi Kurt Cobain. Buwang (kanan) sudah memiliki lima cawangan kedai gunting rambut sendiri. FOTO ihsan Buwang
Petikan video Buwang mendodoikan anak dengan lagu Tepuk Amai Amai versi Kurt Cobain. Buwang (kanan) sudah memiliki lima cawangan kedai gunting rambut sendiri. FOTO ihsan Buwang