Saiful Affendy Sapran


Nama Nur Eli Ellina Azmi cukup sinonim dengan aksi lincahnya di atas gelanggang gimnastik.

Mewarisi minat itu daripada abang dan kakaknya, atlet elit negara berusia 21 tahun yang lebih senang disapa Eli itu kian mengukir nama di pentas antarabangsa.

Namun, di sebalik aksi ‘melentik’ di atas gelanggang, Eli yang sudah berada dalam skuad kebangsaan sejak 2007, mempunyai bakat terpendam iaitu gemar menyanyi.

Sudah pasti ‘destinasi’ wajib untuk seorang yang gemar menyanyi sepertinya adalah dengan mengunjungi pusat karaoke.

“Sebenarnya dulu saya hanya menyanyi dalam bilik air atau di dalam kereta saja.

“Tapi, saya mempunyai seorang kakak yang gila menyanyi dan kemudian minta saya temankan dia pergi ke pusat karaoke.

“Bermula daripada situ saya jadikan menyanyi ini sebagai hobi,” katanya.

Bagi Eli, menyanyi adalah hobi paling mudah selain dapat menghilangkan rasa tekanan sebagai seorang atlet yang sentiasa melalui rejim padat menjalani latihan atau menyertai kejohanan tertentu.

“Perkara paling mudah untuk saya hilangkan tekanan adalah dengan menyanyi.

“Kadang-kala apabila terlalu banyak berfikir, otak kita sudah tidak boleh terima dengan tambahan maklumat lain.

“Jadi, apa yang saya lakukan ialah menyanyi sepuas-puasnya di pusat karaoke dan kemudian keesokannya apabila bangun daripada tidur fikiran menjadi lapang,” katanya.

Jelas Eli, dia akan memastikan hobinya itu tidak akan mengganggu jadual latihan hariannya.

“Saya tidaklah setiap hari pergi ke pusat karaoke.

“Hanya selepas siap semua tugasan serta habis sesi latihan, baru saya pergi karaoke dengan kawan-kawan.

“Tapi, hujung minggu pula saya akan luangkan masa berkaraoke dengan ahli keluarga termasuk ayah,” katanya.

Jelas Eli lagi, lagu wajib yang akan dinyanyikannya setiap kali berkaraoke adalah bertajuk Kesilapanku Keegoanmu yang dinyanyikan Datuk Siti Nurhaliza.

“Biasanya saya lebih gemar menyanyi lagu jiwang serta yang menyentuh perasaan.

“Tidak kisahlah sama ada lagu Melayu atau Inggeris, asalkan lebih berunsur slow rock saya suka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2016 @ 8:22 AM