Gambar hiasan
Gambar hiasan
Yusmizal Dolah Aling


SEMUA aspek penjagaan kesihatan dan pencegahan wabak Covid-19 perlu dipatuhi tukang gunting rambut bagi memastikan mereka dan pelanggan tidak dijangkiti.

Menyifatkan ia sebagai wajib dan tiada kompromi, Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA) TN Winda Mohd Tahir berkata, walaupun langkah berkenaan agak ketat, namun ia adalah syarat terpenting bagi membolehkan mereka beroperasi dengan selamat.

Katanya, pengumuman kerajaan mengenai kebenaran beroperasi itu disambut baik sebahagian besar daripada ahlinya di seluruh negara namun mereka perlu memastikan langkah itu dipatuhi sepenuhnya.

“Sejak dari awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi saya menerima banyak pertanyaan mengenai khidmat menggunting rambut ini.

“Apabila kerajaan mengumumkan kebenaran itu semalam, ia berita baik bukan saja kepada kami, malah kepada rakyat yang ingin mendapatkan perkhidmatan ini terutama sejak 18 Mac lalu. MBBA mengharapkan mana-mana ahli yang akan membuka kedai mereka supaya mematuhi langkah kesihatan yang dikeluarkan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, antara langkah yang perlu dipatuhi ialah jarak antara pelanggan dan tukang gunting rambut, tempoh masa 15 minit untuk setiap sesi, pemakaian penutup hidung dan mulut, pembasmi kuman serta penjagaan kebersihan yang lain.

Katanya, pengusaha kedai gunting rambut juga perlu merekodkan butiran setiap pelanggan dan memastikan supaya mereka tidak bergejala sebelum menggunting rambut.

“Syarat yang dikenakan sangat ketat dan mereka yang melepasi saringan perlu mematuhi sepenuhnya setiap Prosedur Operasi Standard.

“Saya syorkan juga pengusaha menyediakan termometer untuk memeriksa suhu badan pelanggan terlebih dulu, menggunakan sarung tangan dan baju berlengan panjang.

“Kita tidak mahu wujud pula kluster gunting rambut seperti mana yang mula tular hari ini,” katanya.

Beliau berkata, MBBA juga memahami kebimbangan banyak pihak mengenai keadaan itu, namun apa yang penting ialah kejujuran semua pihak.

Untuk rekod, MBBA mempunyai 450 ahli seluruh negara dan sebahagian daripadanya bersetuju untuk beroperasi dalam tempoh PKP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 4:16 PM