Hasifah  tetap meneruskan peniagaan nasi lemak di gerai jualannya di Kampung Bukit Mentok.
Hasifah tetap meneruskan peniagaan nasi lemak di gerai jualannya di Kampung Bukit Mentok.
Rosli Ilham


Kemaman: Banjir yang melanda di Kampung Bukit Mentok di sini, tidak langsung mematahkan semangat seorang wanita untuk meneruskan perniagaannya.

Hasifah Bakery, 32, yang menjalankan perniagaan di depan rumahnya berkata, biarpun dilanda banjir, dia bersyukur jualannya tetap laris.

“Saya berniaga keropok, pisang goreng, sosej, ayam goreng, nasi lemak dan minuman ringan sejak dua tahun lalu.

“Alhamdulillah biarpun penduduk dalam keadaan kelam-kabut berpindah, semua makanan yang saya jual habis.

“Mungkin penduduk tidak sempat menyediakan makanan petang, sebab itu berpusu-pusu membeli makanan di gerai saya,” katanya.

Menurutnya, setiap hari dia memperoleh RM100 dan pendapatan itu digunakan untuk perbelanjaan persekolahan anak.

“Setidak-tidaknya dapat juga saya meringankan beban suami yang hanya bekerja sebagai buruh,” katanya.

Biarpun sibuk berniaga, dia sudah melakukan persediaan untuk berpindah sekiranya perlu.

“Setakat petang ini, air hanya memenuhi kawasan rumah. Saya sudah bersedia sekiranya keadaan makin teruk, saya dan suami serta tiga anak akan segera berpindah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2018 @ 8:16 AM