ROSLIZA kini berniaga di Bazar Ramadan Alma.
ROSLIZA kini berniaga di Bazar Ramadan Alma.
Redzuan Muharam


Bukit Mertajam: Kedatangan Ramadan membawa sinar buat ibu tunggal 10 anak, Rosliza Hassan yang diberi peluang berniaga makanan dan minuman di Bazar Ramadan Alma, Taman Machang Bubok di sini, sejak kelmarin.

Rosliza, 37, bersyukur dengan peluang diberikan hasil pertolongan jurugambar bebas, Keow Wee Loong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lee Khai Loon yang berusaha mendapatkan tapak niaga, modal serta peralatan buatnya.

Menurut Rosliza, lebih menggembirakannya apabila meraih keuntungan hampir RM2,000 dalam masa dua hari iaitu semalam dan kelmarin.

"Alhamdulillah, saya gembira dan berterima kasih kepada Keow dan Yang Berhormat (YB) Khai Loon atas peluang yang diberikan.

"Tak sangka kehidupan saya berubah dalam masa singkat dan semua ini berlaku dengan izin Allah.

"Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua yang mendoakan dan membantu malah sehingga hari ini, masih ada individu menghulurkan sumbangan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Rosliza berkata, antara makanan dijual termasuklah ayam goreng, sosej, dimsum, jejari ayam dan bertih jagung.

Selain itu, Rosliza turut menjual air sirap, jagung dan teh ais.

"Saya tidak berseorangan sebaliknya dibantu dua anak iaitu Muhammad (21) dan Muhammad Faiz (20).

"Manakala, yang lain (anak lain) di rumah dengan jagaan salah seorang anak perempuan saya," katanya.

Sementara itu, Keow berkata, dia merancang untuk membantu Rosliza sejak membawanya berpindah ke penempatan baru di rumah kedai dekat Taman Machang Bubok di sini, pada awal bulan lalu.

Bagi merealisasikannya, Keow berusaha mencari modal, bahan, peralatan dan tapak niaga dengan bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubok, Lee Khai Loon dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

"Usaha saya dipermudahkan dengan pertolongan YB (Lee Khai Loon) yang menghubungi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk mendapatkan tapak dan akhirnya, Kak Ros dapat berniaga di bazar Ramadan Alma bermula kelmarin.

"Pada hari pertama jualan saja, Kak Ros dapat meraih lebih RM720 dan semalam melebihi RM870.

"Ramai pengunjung memberi sokongan kerana mereka mengenali Kak Ros selepas kisahnya tular di laman sosial dan saya berharap perniagaannya terus maju," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Rosliza dan 10 anaknya yang hilang tempat berteduh selepas diminta berpindah keluar dari rumah.

Nasib Rosliza bagaimanapun mendapat perhatian Keow yang bertemu secara kebetulan dengan wanita itu bersama longgokan barangan di hadapan rumahnya.

Keow kemudiannya membantu Rosliza berpindah ke penempatan baru di Taman Machang Bubok iaitu tidak jauh dari rumah sewa lamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 6:00 AM