AZRIN hanya perlu membayar RM1 untuk setiap jenis makanan yang dibeli daripada Nazariyah Abustam di warung makan Alias Ahmad di Kampung Londang, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
AZRIN hanya perlu membayar RM1 untuk setiap jenis makanan yang dibeli daripada Nazariyah Abustam di warung makan Alias Ahmad di Kampung Londang, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


MENYEDARI ramai yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan seorang peniaga menawarkan makanan pada harga RM1 di warungnya di Kampung Londang, Masjid Tanah, Melaka.

Alias Ahmad, 55, terpaksa menghentikan operasi di warung cawangannya di pantai Pengkalan Balak dan memberi tumpuan kepada warung utamanya bertentangan Kolej Matrikulasi Mara (KMM) Cawangan Masjid Tanah di Kampung Londang.

Bermula hari ini, dia menjual nasi lemak, sosej, ayam goreng, bihun goreng dan mi goreng dengan RM1 dan turut menyediakan roti canai dengan harga 50 sen sekeping.

“Saya faham keadaan kewangan orang ramai yang terjejas dengan PKP sekarang dan satu daripada kaedah untuk meringankan beban mereka ialah dengan menawarkan makanan pada harga RM1.

“Roti canai itu pula memang sudah lama saya sediakan sebelum ini pada harga berkenaan bagi membantu penduduk setempat tidak mampu berbelanja secara mewah tetapi gemar makan roti canai,” katanya ketika ditemui di warung berkenaan hari ini.

LAJIM menyerahkan makanan dipesan Hamidah Mat Senik di Kampung Londang, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
LAJIM menyerahkan makanan dipesan Hamidah Mat Senik di Kampung Londang, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar

Dia dibantu menantunya, Nazariyah Abustam, 26, dan anak sulungnya, Faradillah, 31, untuk menyediakan bahan makanan untuk pelanggan melalui kaedah bayar ketika penghantaran (COD).

Faradillah pula berkata, selain menyediakan pelbagai jenis lauk di warung, mereka turut melayan permintaan pelanggan yang tidak dapat hadir di warung dengan meminta suaminya, Rozainoor Lajim, 35, membuat penghantaran pesanan.

Sementara itu, pelanggan mereka, Azrin Kiran, 39, berkata, dia tidak melepaskan peluang menikmati makanan di warung berkenaan kerana harganya yang murah dan sesuai dengan kemampuannya untuk menyara kehidupan bersama isteri dan empat anaknya berusia antara tujuh hingga 16 tahun.

“Alhamdulillah, saya harap lebih ramai lagi peniaga jual makanan seperti di warung ini kerana sepanjang PKP, ramai orang termasuk saya tidak ada pendapatan kerana bergaji hari,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 4:12 PM