KOTAK putih berisi mayat bayi malang itu. - Agensi
KOTAK putih berisi mayat bayi malang itu. - Agensi
Agensi

Buenos Aires: Seorang bayi terputus kepalanya ketika dilahirkan songsang oleh ibunya disebabkan kecuaian doktor semasa menariknya keluar akibat tersangkut.

Reina Natalia Valazquez, 30, dan suaminya hanya pulang ke rumah bersama sebuah kotak berisi mayat bayi mereka yang diserahkan pihak hospital.

Reina hamil 22 minggu dan bersalin awal ketika membuat persediaan menyambut Krismas di rumah keluarganya di Salvador Mazza, Argentina.

Katanya, ketika kejadian, suaminya berada di luar membeli lampin bayi dan terkejut apabila melihat doktor memapah bayinya tanpa kepala.

“Ketika bersalin, kami tidak tahu sama ada doktor atau bidan yang menarik bayi hingga kepalanya terpisah dari badan,” katanya dalam tuntutan mereka.

Pengarah hospital, Jose Fernandez berkata, kepada laman sesawang InformateSalta bahawa doktor tidak mahu melakukan pembedahan Caesarean ke atasnya memandangkan terdapat bukaan 11 sentimeter (cm).

“Kandungannya songsang jadi badannya keluar dulu. Apabila sampai di bahagian kepalanya, terdapat kekejangan di bahagian serviks yang menekan leher bayi.

“Doktor sakit puan memanggil doktor lain yang cuba mengeluarkan bayi tetapi terdapat koyakan dan terputus hingga tertinggal kepala di dalam,” katanya.

Menurutnya, doktor merancang mengeluarkannya menerusi pembedahan caesarean, namun ia dikeluarkan secara semula jadi bersama uri.

Perkhidmatan pendakwaan Argentina mengesahkan siasatan sudah dimulakan bagi mengenal pasti punca kematian bayi terbabit.

Susulan itu, pasangan berkenaan memfailkan tuntutan kecuaian melampau terhadap hospital terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 7:58 AM