FILEM kisah kehidupan OKU jalani penggambaraan tahun depan.
FILEM kisah kehidupan OKU jalani penggambaraan tahun depan.
Nor Akmar Samudin

Pelakon filem I’m Not A Terrorist, Chacha Maembong, 21, akan berlakon dengan abangnya, Ahmad Bakti, 24, dalam sebuah filem mengisahkan kehidupan orang kurang upaya (OKU).

Chacha berkata, dia gembira kerana dapat berlakon dengan abangnya dan penggambaran filem itu akan dilakukan tahun depan.

Bakti yang juga OKU menggunakan kerusi roda untuk bergerak dan diharap dapat menyelami kehidupan sebenar mereka yang kurang bernasib baik dalam filem mengetengahkan elemen kekeluargaan serta persahabatan itu.

Chacha berkata, filem I’m Not A Terrorist banyak membantu meningkatkan prestasi lakonannya.

“Filem itu benar-benar memberi pendedahan dalam kerjaya seni saya. Ramai juga yang memuji lakonan saya dan ia penghargaan besar selain dapat bekerja dengan bintang handalan Bollywood seperti Gulshon Grover, Farida Jalal dan Rahul Dev.

“Saya kini sudah bersedia membawakan apa saja watak. Namun, buat masa ini saya nak berehat sekejap sebelum aktif semula tahun depan,” katanya.

Lakonan terbaru Chacha dalam drama Zahir Tak Terucap bakal mengisi slot Zehra tahun depan. Turut berlakon ialah Saharul Ridzwan, Raysha Rizrose dan Aeril Zafrel.

Adik kepada pelakon Emma Maembong dan Yaya Maembong ini mengakui mempunyai adik-beradik yang turut menceburi dunia lakonan memberi kelebihan kepadanya kerana mereka boleh saling memberikan pendapat mengenai lakonan masing-masing.

“Kami tidak bersaing antara satu sama lain bahkan saling menyokong. Bukan mudah untuk Emma sampai ke tahap sekarang. Rezeki dapat dikongsi bersama dan kami kembangkan pula kepada perniagaan.

“Memandangkan Yaya kini mengurangkan aktiviti lakonan untuk menumpukan perhatian kepada rumah tangga, jadi dia yang akan menguruskan perniagaan kami bersama seorang lagi kakak,” katanya.

Kini Chacha sedang diulit bahagia dengan seorang jejaka yang bukan dalam kalangan penggiat industri hiburan tanah air.

“Kami sudah kenal lebih setahun tetapi belum bercadang menuju ke fasa seterusnya kerana kerjaya saya pun baru nak berkembang. Ketika ini, kami selesa berkawan dan saya berharap Emma akan naik pelamin dulu kerana kalau boleh saya tak mahulah ‘langkah bendul’.

“Saya pun muda lagi, cuma saya harapkan perhubungan kami ini akan berkekalan sehingga ke jenjang pelamin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 4:58 AM