ANTONIO Conte (kanan) yakin pemainnya tidak perlu takut berdepan salah satu pasukan kuat . FOTO AFP
ANTONIO Conte (kanan) yakin pemainnya tidak perlu takut berdepan salah satu pasukan kuat . FOTO AFP
AFP

London: Antonio Conte tegas mengatakan mengatakan bahawa tidak ada apa yang perlu ditakutkan Chelsea walaupun pasukannya bakal bertemu sama ada Barcelona atau Paris Saint-Germain (PSG) pada pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.

Skuad kendalian Conte melepaskan peluang untuk mengungguli Kumpulan C apabila sekadar seri 1-1 dengan Atletico Madrid, semalam.

Keputusan itu sekali gus membolehkan Roma muncul juara kumpulan selepas menang ke atas Qarabag dan mengatasi Chelsea menerusi keputusan perlawanan kedua-dua pasukan.

Kelab Turki, Besiktas atau Sevilla - jika menang dalam kumpulan yang diketuai Liverpool - turut boleh menjadi lawan juara Inggeris itu.

Tetapi pengurus Chelsea, Conte yakin pemainnya tidak perlu takut berdepan salah satu pasukan kuat kerana berpendapat mereka juga cukup bertenaga untuk mengalahkan mana-mana pasukan.

“Apabila anda bermain di pertandingan ini dan anda layak ke pusingan seterusnya, anda perlu bersedia untuk berdepan lawan kuat,” katanya.

“Dalam hal ini, kami tahu bahawa kami mungkin bertemu Barcelona, PSG atau Besiktas.

“Kami perlu sedia. Pada masa sama saya rasa lawan kami juga tidak senang apabila bertemu kami.

“Ia pertandingan yang hebat. Kami melangkah ke pusingan seterusnya dan kami perlu gembira dengan kejayaan ini.”

Walaupun ketinggalan di belakang Manchester City pada carta Liga Perdana Inggeris ketika ini, Chelsea jelas tidak boleh bergantung kepada trofi Eropah semata-mata untuk dibanggakan.

Tetapi ketika City, Tottenham serta Manchester United turut layak ke kelompok 16 terakhir, Conte mendakwa Chelsea perlu bekerja lebih keras sebelum layak ke pusingan kalah mati.

Dan pengendali Itali itu mengingatkan bakal lawan Chelsea bahawa bukan mudah untuk mereka mengekalkan rentak pada pusingan seterusnya.

“Musim lalu, kami memenangi liga dan ia boleh dianggap satu kejutan. Musim ini, kami mahu melakukan yang terbaik dalam saingan liga dan Liga Juara-Juara,” katanya.

“Kami perlu buktikan bahawa kami layak ke pusingan seterusnya dan melawan untuk memenangi gelaran.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 7:11 AM