ANTONIO CONTE
ANTONIO CONTE
AFP

ANTONIO Conte memberi amaran kepada empat pasukan teratas Liga Perdana Inggeris bahawa skuad bimbingannya akan terus berusaha merebut kedudukan empat terbaik itu dalam pemburuan meraih tiket ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Olivier Giroud menghidupkan peluang Chelsea untuk menduduki slot empat teratas selepas penyerang antarabangsa Perancis itu meledak gol tunggal ketika mereka mencatat kemenangan 1-0 ke atas Liverpool.

Jaringan Giroud pada babak pertama di Stamford Bridge menyaksikan Chelsea yang menduduki tempat kelima kini hanya ketinggalan dua mata berbanding pasukan di tangga keempat, Tottenham Hotspur dalam usaha perebutan ke Liga Juara-Juara musim depan.

“Biasanya apabila anda perlu bermain perlawanan wajib menang ia bukanlah mudah kerana adalah sesuatu yang normal apabila berasa sedikit tertekan.

“Kami akhirnya menang untuk terus menghidupkan peluang beraksi di Liga Juara-Juara.

“Saya tak pasti sama usaha ini mencukupi sehingga hujung musim ini tetapi kami akan terus mencuba,” kata Conte.

Chelsea akan bertemu pasukan yang sedang bergelut, Huddersfield, Rabu ini sementara Tottenham bertemu Newcastle pada hari sama.

Pada perlawanan terakhir liga pula, Chelsea berkunjung ke Newcastle manakala Tottenham melayan kunjungan Leicester.

“Adalah amat penting untuk berdepan situasi ini dengan rasa bangga dan menunjukkan bahawa peluang kami masih belum tertutup.

“Mungkin sebulan yang lalu agak sukar untuk membayangkan kami mampu bersaing merebut tempat ke Liga Juara-Juara pada hujung musim.

“Kami berjaya melakar kemenangan sementara lawan mencicirkan mata. Kami sedang memberi tekanan kepada lawan lain,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 11:05 AM