ANTONIO CONTE
ANTONIO CONTE

LONDON: Chelsea mesti bersedia untuk “sengsara” di Barcelona awal pagi Khamis ini jika mereka mahu mengintai peluang layak ke suku akhir Liga Juara-Juara, menurut pengurus Antonio Conte.

Barcelona menyumbat gol penyamaan pada minit ke-75 menerusi Lionel Messi untuk memadamkan gol babak kedua pemain tengah Willian pada aksi pertama di Stamford Bridge bulan lalu.

Conte berkata, pasukannya mungkin berdepan tugas lebih getir menentang juara Eropah lima kali itu di Nou Camp.

“Kami perlu terlalu bagus tapi apabila anda bermain menentang pasukan sebegini, yang mana saya fikir satu daripada pasukan terbaik di dunia, anda mesti bersedia untuk sengsara, dalam cara sama kami lakukan pada aksi pertama, yang mana kami hampir sempurna,” kata Conte.

“Ini bukannya pasukan (Chelsea) dengan pengalaman hebat, kami mempunyai ramai pemain yang beraksi musim pertama atau kedua dalam Liga Juara-Juara.

“Tapi kami perlu bekerja sebagai satu pasukan dan cuba bersedia sengsara ketika kami akan merana dan dalam setiap saat kami perlu menyedari kami boleh mempunyai peluang untuk menjaringkan gol.”

Barcelona menguasai pegangan bola pada aksi pertama namun anak buah Conte tidak bernasib baik tidak menang selepas Willian dua kali dinafikan oleh tiang gol sebelum rehat.

“Memandangkan keupayaan lawan kami mendominasi pegangan bola, apatah lagi di laman sendiri, kami juga perlu bersabar dan memberi tumpuan sepenuhnya menunggu peluang dan menyempurnakannya apabila ia hadir,” jelas Conte. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 1:55 PM