FABREGAS (kiri) yakin mampu bantu Chelsea menang Liga Juara-Juara. -Foto AFP
FABREGAS (kiri) yakin mampu bantu Chelsea menang Liga Juara-Juara. -Foto AFP
AFP

LONDON: Tonggak senior Chelsea, Cesc Fabregas mengakui puas apabila berjaya membuktikan kepada pengurus, Antonio Conte bahawa kehadirannya di kelab itu masih relevan dan mahu terus menyumbang buat barisan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Dia yang kini berusia 30 tahun dianggap antara pemain tengah paling kreatif dalam saingan EPL selain turut menjulang sebanyak dua kali trofi berkenaan sepanjang empat musim bersama The Blues.

Malah berdasarkan pencapaiannya, pemain antarabangsa Sepanyol itu juga sudah memenangi pelbagai kejuaraan utama seperti Piala Eropah (2008 dan 2012), Piala Dunia (2010) dan kesemua gelaran di La Liga ketika bersama Barcelona dari 2011-2014 selain Piala FA Inggeris di Arsenal pada 2004.

Namun di sebalik semua kemahsyuran itu, masih terdapat satu trofi yang belum digenggamnya iaitu Liga Juara-Juara dengan Fabregas bertekad untuk meraihnya bersama Chelsea di bawah kendalian Conte musim ini.

ANTONIO CONTE
ANTONIO CONTE

“Pada awalnya, saya bukan sebahagian daripada perancangan awalnya (Conte) ketika beliau mula-mula tiba di Stamford Bridge musim lalu. Hanya dua perkara yang bermain di fikiran saya ketika itu iaitu menyerah dan berada di bangku simpanan atau keluar daripada pasukan.

“Tetapi saya tidak mengalah apabila bertekad untuk tunjukkan kepadanya bahawa tanggapan beliau terhadap saya salah. Akhirnya hubungan kami semakin baik dan beliau sememangnya jurulatih yang hebat.

“Beliau mempercayai saya. Beliau tahu apa yang boleh saya berikan kepada pasukan dan kini fokus utama saya adalah memastikan Chelsea memburu gelaran Liga Juara-Juara yang belum pernah saya rasai,” katanya menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan saingan Eropah itu berdepan Atletico Madrid.

Sementara itu, Conte membayangkan Fabregas mungkin akan disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika beliau menyasarkan tiga mata penuh ke atas Atletico Madrid bagi membolehkan skuad kendaliannya menamatkan kempen selaku juara Kumpulan C.

“Apabila anda berusia 30 tahun, anda mempunyai sekurang-kurangnya lima tahun lagi. Dia (Fabregas) seorang pemain yang memiliki visi dan semangat melawan tinggi yang menjadikan antara pemain istimewa kami,” kata Conte.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 10:46 AM