TUNKU Ismail menempelak PBNP.
TUNKU Ismail menempelak PBNP.
Zulfaizan Mansor dan Rizar Mohd Noor


TUNKU Ismail Sultan Ibrahim menempelak Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang menolak tawaran beraksi pada saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tahun depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu menyifatkan keputusan yang diambil oleh persatuan berkenaan sebagai menghantar ‘isyarat salah’ kepada pasukan lain.

“Orang (pasukan) yang keluar dari kejohanan AFC ini betul ke nak menolong pasukan kebangsaan. Atau ada agenda tersendiri untuk menjatuhkan presiden dan kepimpinan baharu FAM? Saya tidak (cakap) bertapis dekat sini.

“Apabila anda tidak sertai kejohanan AFC iaitu kejohanan antarabangsa, bagaimana bola sepak kita nak membangun? Anda menghantar isyarat salah kepada pasukan yang bertanding seolah-olah Piala AFC tak penting. Sedangkan ia kejohanan antarabangsa.

“Adakah anda tidak sedar, ia turut memberi impak kepada penaja liga kita. Kalau rasa Piala AFC tak penting, hantar saja skuad Piala Presiden. Sekurang-kurangnya pemain dapat faedah dan pengalaman selain pada masa yang sama anda masih sertai kejohanan itu.

“Kita bawah AFC dan AFC bawah FIFA. Jadi kita kena bekerjasama bukan nak jatuhkan satu sama lain,” katanya pada sidang media di Johor Bahru, sebentar tadi.

PAHANG FA tolak tawaran beraksi Piala AFC.
PAHANG FA tolak tawaran beraksi Piala AFC.

Kelmarin, Pahang membuat keputusan mengejut apabila menolak tawaran FAM menggantikan Kedah sebagai wakil Malaysia bersaing dalam Piala AFC dengan memberi alasan ingin memberi fokus kepada saingan liga tempatan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kedudukan Kedah yang tidak layak bertanding Piala AFC, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), menjelaskan pasukan itu tidak boleh diberikan lesen kerana tidak memenuhi syarat.

“Bagaimana kita nak bagi lesen kepada Kedah sedangkan mereka tidak penuhi syarat. Kalau kita bagi lesen dan selepas itu AFC tanya kita, jadi FAM juga yang kena,” katanya.

Tunku Ismail turut menjelaskan nasib FELDA United untuk bersaing dalam Liga Malaysia musim depan hanya akan ditentukan dalam mesyuarat FAM akan datang.

“Berkenaan kedudukan FELDA United yang belum dapat lesen, bagi saya lesen dan syarat adalah jelas dan semua pasukan kena ikut.

“Dulu FAM suka jaga hati orang kerana yang tiada lesen pun boleh layak bertanding. Ini sifat kroni, dan ia tidak boleh ada dalam bola sepak tanah air.

“Nak ada lesen kena kerja keras untuk dapat lesen. Mana boleh tiada lesen dan nak harap orang tolong. Undang-undang kena ikut dan ia prosedur biasa. Jadi, soal FELDA United saya tak tahu, keputusan akan dibuat selepas mesyuarat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 9:23 PM