PENGENALAN lima import dilihat sebagai tidak adil buat pasukan yang berbelanja kecil. Gambar kecil, Zakaria Rahim. FOTO Shahril Badri Saali & Goh Thean Howe
PENGENALAN lima import dilihat sebagai tidak adil buat pasukan yang berbelanja kecil. Gambar kecil, Zakaria Rahim. FOTO Shahril Badri Saali & Goh Thean Howe
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: “Tidak adil.” Itu reaksi bekas pengurus Selangor, Zakaria Rahim yang menyifatkan dasar baharu saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim depan sebagai tidak adil buat pasukan yang berbelanja kecil.

Katanya, pengenalan lima kuota import kepada 12 pasukan Liga Super sambil hanya empat yang dibenarkan beraksi dalam kempen Piala FA dan Piala Malaysia pastinya akan menambah beban kewangan pasukan.

“Ada sesuatu yang tak kena dengan pengenalan baharu liga tempatan. Bagaimana pasukan Liga Super dibenarkan mengambil hingga lima import tetapi tidak boleh beraksi dalam semua kejohanan domestik.

“Saya faham ia dilakukan kerana mahu beri keseimbangan kepada pasukan di Liga Perdana yang dibenarkan mengambil empat import, tetapi adakah ia adil kepada pasukan Liga Super yang perlu membayar penuh gaji kelima-lima import mereka.

“Bayangkan kalau dalam sebulan itu ada dua atau tiga kali perlawanan Piala FA dan salah seorang terpaksa dikorbankan, sudah tentu ianya mendatangkan beban kewangan.

“Apa kata selaraskan saja dengan semua pasukan Liga Super dan Liga Perdana dibenarkan ambil lima import. Sama ada pasukan Liga Perdana nak ambil (lima import) itu terpulang kepada mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Isnin lalu, pengendali liga tempatan - Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) membenarkan pasukan Liga Super mendaftarkan lima pemain import termasuk seorang daripada Asia Tenggara bermula musim depan.

Menerusi penambahan ini, bermakna ia bakal menyaksikan masing-masing seorang import daripada Asia dan Asia Tenggara manakala bakinya bergantung kepada pilihan pasukan bertanding.

Bagaimanapun, saingan Liga Perdana tetap kekal dengan kuota empat pemain import manakala dua lagi kejohanan domestik iaitu Piala FA dan Piala Malaysia menyaksikan hanya empat dibenarkan untuk beraksi.

“Kos untuk pemain import zaman sekarang bukannya murah. Saya bagi contoh, harga seorang pemain import dari Singapura sekitar AS$15,000 (RM62,032) atau pemain Filipina AS$25,000 (RM103,406) sebulan.

“Itu baru untuk slot Asia Tenggara, belum lagi kira import dari luar rantau ini. Jadi, kalau ambil lima dan terpaksa simpan satu sudah tentu rugi dan tidak adil buat pasukan berkenaan,” katanya yang pernah menjadi pengurus peribadi Safee Sali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 7:17 AM