Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kos pembayaran gaji buat sembilan pemain import dijangka naik sekali kali ganda atau bersamaan hampir RM6 juta semusim jika kuota berkenaan diisi setiap pasukan dalam saingan Liga Super musim depan.

Peningkatan itu jauh berbeza dengan anggaran ketika ini sekitar RM3 juta semusim membabitkan lima awang import bagi pasukan yang tidak memiliki kelab 'feeder'.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan nilai seorang pemain import dari setiap benua adalah berbeza dan tidak sama.

Contohnya, seorang pemain dari Amerika Latin dan Eropah boleh dianggarkan sekitar AS$10,000 hingga AS$15,000 atau bersamaan RM66,796 sebulan.

Nilai pemain luar dari Asia pula sekitar AS$7,000 hingga AS$10,000 (RM31,000-RM44,000) diikuti tonggak dari Asean antara AS$5,000 hingga AS$10,000 (RM22,000-RM44,000).

Jelas Effendi, nilai berkenaan diambil secara kasar di mana kemungkinan tanda harga itu boleh meningkat lebih tinggi berdasarkan kepada gred setiap pemain.

"Itu hanya anggaran asas saja, tapi kalau pasukan yang lebih kaya, mereka akan ambil pemain import gred lagi mahal.

"Sudah pasti kos gaji pemain import akan meningkat apabila sembilan pemain import dibenarkan. Tetapi ia sebenarnya bergantung kepada pasukan itu sendiri, mungkin tak semua akan guna kuota itu.

"Macam JDT (Johor Darul Ta'zim), Terengganu dan Selangor rasanya tak ada masalah sebab sekarang pun mereka sudah ada ramai pemain import kerana dalam pasukan 'feeder' di Liga Perdana pun mereka ada pemain import.

"Jadi kos ini akan meningkat kepada 15 kelab lain yang tidak ada pasukan feeder musim ini, jadi mereka perlu bersedia dengan peningkatan perbelanjaan pasukan jika berhasrat untuk guna sembilan kuota itu," katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, menerusi Mesyuarat Luar Biasa (EGM) membabitkan Rakan Kongsi Liga Malaysia bersetuju menambah baik dan merombak sistem liga apabila menyaksikan sembilan pemain import dibenarkan musim depan.

Dalam mesyuarat itu, MFL menetapkan format baharu pendaftaran sembilan pemain import diberikan kepada kesemua pasukan Liga Super bermula musim depan, di mana MFL masih kekal dengan hanya membenarkan 5 pemain import (iaitu 3+1 (Asia)+1 (Asean)) di atas padang pada satu satu masa, dengan hanya tambahan seorang pemain di bangku simpanan.

Selain itu, penambahan pasukan di Liga Super juga menyaksikan sejumlah 18 kelab akan bersaing di Liga Super berbanding 12 pasukan ketika ini dengan saingan Liga Perdana akan dimansuhkan dalam tempoh tertentu dan Liga Simpanan (Reserve League) akan diperkenalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 9:47 PM