Mohd Amin Jalil


Seremban: Kelab bola sepak tempatan perlu bersedia dengan perancangan rapi terutama membabitkan pengurusan kewangan susulan format baharu pendaftaran sembilan pemain import kepada semua pasukan Liga Super bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, berkata, setiap pasukan perlu berbelanja mengikut kemampuan masing-masing dan bukannya terikut-ikut dengan pasukan lain.

"MFL sudah menetapkan kuota maksimum sembilan pemain import kepada setiap pasukan Liga Super namun mereka yang mempunyai bajet sederhana tidak perlu memenuhi semua kuota itu.

"Pasukan seharusnya berbelanja ikut kemampuan masing-masing dan tidak semestinya mengambil sembilan pemain import.

"Jika mampu ambil kurang daripada itu adalah lebih baik yang penting ikut kemampuan dan perancangan kerana walaupun kuota dibenarkan sembilan pemain import tetapi hanya lima di atas padang dan satu di bangku simpanan," katanya.

Beliau ditemui selepas selesai membuang undi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina, Rantau, dekat sini, hari ini.

Sebelum ini, MFL mengumumkan struktur baharu Liga M bermula musim depan dengan saingan Liga Super bakal disertai 15 pasukan selepas Petaling Jaya (PJ) City FC menarik diri manakala penyingkiran membabitkan Melaka United FC dan Sarawak United FC.

Pelaksanaan penstrukturan semula Liga M itu menyaksikan setiap pasukan akan beraksi dalam 30 perlawanan Liga Super bagi musim 2023 berbanding hanya 22 perlawanan sahaja musim ini, tidak termasuk perlawanan Piala FA dan Piala Malaysia.

Mengulas lanjut, Ab Ghani berkata, setiap pasukan perlu menyediakan bajet yang betul bagi mengelak sebarang masalah ketika Liga M sedang berlangsung.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu ada kelab menghadapi masalah kewangan ketika pertengahan musim kerana ia boleh menjejaskan perjalanan liga selain memberi kesan kepada kepentingan pemain.

"Kita di MFL, berharap agar Liga Malaysia ini ada kewibawaan dan reputasinya terus berkembang baik kerana ketika ini liga kita dinobatkan sebagai liga nombor satu Asia Tenggara dan nombor lima diperingkat Asia.

"Ini hasil kejayaan pasukan dalam Liga M di peringkat antarabangsa khususnya Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) yang berada dalam 16 pasukan ACL selain Kuala Lumpur City FC yang dinobatkan selaku naib juara AFC Cup.

"Banyak peningkatan dan kemajuan dicapai Liga Malaysia dan insya-Allah pada 2024 nanti, dua kelab akan beraksi secara automatik dan dua lagi secara play-off di ACL.

"Dan pencapaian ini sama dengan kelab-kelab di Timur Tengah," katanya yang menegaskan pihaknya mahu memastikan MFL terus bergerak ke hadapan dalam memastikan Liga M berada di dalam peta bola sepak Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 4:30 PM