SHAAKHMEDOV (kiri) calon terbaik mengisi kuota import bagi menghadapi baki saingan liga, Piala AFC dan Piala Malaysia musim. FOTO NSTP
SHAAKHMEDOV (kiri) calon terbaik mengisi kuota import bagi menghadapi baki saingan liga, Piala AFC dan Piala Malaysia musim. FOTO NSTP
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bekas arkitek skuad Terengganu FC (TFC) musim lalu, Sanjar Shaakhmedov dan Lee Tuck dijangka bakal kembali mewarnai skuad Penyu itu sebelum jendela kedua perpindahan pemain Liga Malaysia (Liga M) berakhir pada 30 Mei ini.

Berita mengenai kehadiran pemain kelahiran Uzbekistan dan pemain berdarah kacukan England-Malaysia itu bukan sahaja tersebar dalam media sosial malah pengendali TFC, Nafuzi Zain tidak menolak kemungkinan itu.

Nafuzi mengakui dua bekas pemain tengah yang membantu TFC mara ke saingan Piala AFC musim ini selepas menghuni di kedudukan ketiga Liga Super musim lalu adalah calon terbaik untuk mengisi kuota pemain import bagi menghadapi baki saingan liga, Piala AFC dan Piala Malaysia musim ini.

Jika menjadi kenyataan, Tuck yang digelar 'Rooney Ganu' dan Shaakhmedov hadir tepat pada masanya selepas dua pemain skuad Penyu iaitu kapten Namibia, Petrus Shitembi dan bekas tonggak kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Aston Villa, Christopher Herd terpaksa diketepikan kerana mengalami kecederaan serius.

Bagaimanapun jurulatih muda meningkat naik itu yang turut dibantu dua bekas pemain kebangsaan, Tengku Hazman Raja Hassan dan Rosdi Talib mengemudi pasukan itu lebih cenderung untuk mendapatkan pemain kuota Asia bagi menggantikan Herd yang mengalami kecederaan lutut.

Situasi ini sekali gus memberi bayangan pemain yang kini beraksi bersama kelab AGMK dalam Liga Uzbekistan itu lebih berpeluang kembali bersama bekas pasukannya berbanding Tuck yang dilepaskan Pahang secara pinjaman.

"Sebagai jurulatih memang saya mahu menggunakan khidmat lima pemain import sebab bermula perlawanan pertama hingga sekarang, TFC hanya menggunakan empat tenaga import berbanding kuota lima pemain.

"Secara peribadi dengan masa yang ada saya lebih suka mengambil pemain yang kita kenal, contoh Shaakhmedov dan Tuck, mereka calon terbaik buat pasukan kerana kita tahu corak permainannya dan mereka tahu apa yang kita perlukan, jadi senang untuk membuat perancangan.

"Tapi terserah kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan, sukar buat saya untuk membuat keputusan berkenaan Tuck, lagipun kita sekarang tidak mempunyai pemain kuota Asia, jadi untuk mengambil Tuck ataupun Shaakhmedov, kita perlu melihat kuota yang ada, mungkin jika ambil Tuck pemain yang ada akan beraksi dengan pasukan 'feeder club'.

"Namun kami pun serba salah kerana semua pemain pamerkan peningkatan, tapi untuk meningkatkan lagi pasukan kita perlukan tambahan pemain import," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 5:17 PM