Omar Osman


"SEBAIK buka pintu bilik, saya terkejut melihat menantu (S Sivarau, 48) tergantung manakala tiga cucu berada di atas katil seperti sedang tidur," kata S Punita,60, nenek kepada tiga beradik yang mati dibunuh bapa mereka yang kemudian bertindak mengantung diri di Perdana Height, Amanjaya, Sungai Petani, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, tiga kanak-kanak terbabit S Ragu Ram Rau,5 dan S Sashvin Rau,6, ditemui di atas tilam sementara S Yamunasri, 8, di atas katil di bilik tidur utama itu sementara bapa mereka menggantung diri.

Punita berkata, kebiasaannya cucunya akan turun untuk minum pada 11 pagi namun hari ini tidak berbuat sedemikian menyebabkan dia naik ke tingkat atas untuk memeriksa.

"Saya ingatkan mereka masih tidur selepas beberapa kali memanggil cucu namun tiada sebarang jawapan.

"Namun sebaik membuka pintu bilik, saya tergamam melihat menantu tergantung sementara cucu seperti sedang tidur dalam keadaan berselimut tetapi tidak berani mengejut mereka sebelum turun semula dan menghubungi 999," katanya ketika ditemui di rumah itu hari ini.

Menurutnya, kali terakhir dia berbual dengan cucu dan menantu ketika makan malam 10 malam semalam sebelum lelaki itu membawa anak-anaknya naik ke atas untuk tidur.

"Saya ada dengar jam 5 pagi tadi salah seorang cucu menangis sebelum menantu turun dan saya terus bertanya apa yang terjadi namun dia memberitahu cucu tengah tidur dan mungkin meracau. Menantu kemudian naik semula ke atas sebelum senyap.

"Beberapa hari ini, saya melihat menantu begitu resah dan gelisah...mungkin dia terlalu sedih dengan kematian isterinya awal bulan ini selain menghadapi masalah kewangan.

"Saya sedih dengan kejadian ini dan tidak menyangka tiga cucu dan menantu turut mati selepas 20 hari emak mereka mati," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al-Athrash Wahid berkata, pihaknya yang menerima maklumat segera ke lokasi kejadian sebelum menemui mangsa tergantung sementara anaknya ditemui di atas katil di bilik sama dalam keadaan berselimut.

"Hasil siasatan awal, lelaki itu membunuh anaknya terlebih dahulu dipercayai dengan cara menekup muka menggunakan bantal sebelum menggantung dirinya.

"Siasatan mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada masalah kewangan yang dialami keluarga terbabit," katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid pula berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia 12 jam sebelum ditemui dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.

"Siasatan juga mendapati ibu mentua mangsa baru 20 hari tinggal bersama mereka selepas anak perempuannya meninggal dunia akibat menggantung diri sebelum ini," katanya.

Berita berkaitan

Tergamak bunuh tiga anak

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 8:40 PM
S Sivarau (gambar kecil) dan tiga anaknya (dari kiri) S Ragu Ram Rau,5, S Sashvin Rau,6 dan S Yamunasri, 8, ditemui mati di dalam bilik tidur  di Perdana Height, Amanjaya, Sungai Petani, hari ini. FOTO ihsan PDRM
S Sivarau (gambar kecil) dan tiga anaknya (dari kiri) S Ragu Ram Rau,5, S Sashvin Rau,6 dan S Yamunasri, 8, ditemui mati di dalam bilik tidur di Perdana Height, Amanjaya, Sungai Petani, hari ini. FOTO ihsan PDRM