SUNGGUH berbesar hati kerana pemenang Anugerah Skrin adalah pilihan juri.
SUNGGUH berbesar hati kerana pemenang Anugerah Skrin adalah pilihan juri.
Rudy Imran Shamsudin

Memenangi anugerah pelakon wanita terbaik memang menjadi idaman semua aktres. Bagi bintang popular Fasha Sandha, itulah yang didambanya sepanjang 15 tahun mencanai bakat sebagai pelakon.

Menerusi Anugerah Skrin 2017 (ASK2017) pada 3 November lalu, pelakon yang mula diperkenal menerusi filem Black Maria dan Bintang Hati itu, berjaya merangkul anugerah pelakon wanita terbaik drama melalui drama Terima Kasih Ramadan arahan Pali Yahya.

Malam bersejarah itu, Fasha mendedikasikan kemenangannya kepada dua cahaya matanya Putra Rayfal Ramli dan Putri Raysha Jemaima.

Lebih manis apabila kemenangan itu diperoleh beberapa hari sebelum sambutan ulang tahun Jemaima yang ketiga. Ia disifatkan Fasha sebagai kegembiraan berganda.

Kata Fasha ketika ditemui pada majlis sambutan hari jadi Jemaima baru-baru ini, dua buah hatinya itu menjadi sumber inspirasi dan penguat semangat untuk dia terus berjuang dalam industri seni .

“Walaupun anak-anak belum faham, mereka seronok melihat saya gembira meraih anugerah ini,” katanya.

Jelas Fasha, sebaik pulang ke rumah, Jemaima masih belum tidur dan dia sempat menunjukkan trofi yang dimenanginya kepada puteri bongsunya itu.

“Saya serahkan trofi itu kepada Jemaima dan beritahu saya dapat pengiktirafan. Apabila besar nanti, dia akan faham betapa besarnya makna anugerah itu dalam hidup kami,” katanya.

Selain anak-anak, kemenangan itu turut didedikasikan buat semua ahli keluarganya terutama ibu tercinta yang menjadi tulang belakangnya selama ini.

“Sewaktu menyampaikan ucapan, saya tidak boleh berbicara panjang kerana waktu sangat terhad. Pengurus pentas sudah pesan ucapan pemenang mesti ringkas dan manis.

“Saya pula tidak menjangka akan memenangi kategori ini dan apabila bangun dari tempat duduk, baru fikir apa yang perlu diucapkan. Saya dulukan ucapan penghargaan kepada TV3 dan pasukan produksi drama kemudian keluarga serta peminat.

“Keluarga faham dengan masa singkat saya tidak dapat menyebut nama setiap orang. Apabila memenangi anugerah terbaik, saya seharusnya mendahulukan ucapan terima kasih kepada pembikin drama. Apatah lagi anugerah terbaik tidak sama dengan popular kerana ia dipilih juri,” katanya.

Beralih ke sambutan hari jadi ketiga Jemaima, Fasha berkata, ia dibuat secara kecil-kecilan dan hanya 50 tetamu terdiri daripada keluarga dan kawan rapat dijemput.

“Saya mahu Jemaima gembira pada hari jadinya. Walaupun asyik melekap dengan saya, dia seronok diraikan,” katanya.

Ujar Fasha, dia tidak mengadakan majlis besar-besaran kerana tidak cukup masa untuk melakukan persiapan.

“Saya uruskan sendiri majlis ini termasuklah hiasan, belon dan juluran. Kali ini saya tak upah pengurus majlis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 3:23 AM