Pemain T-Team, Ahmad Takhiyuddin (dua kanan) menanduk bola sambil diasak pemain Kedah, Muhammad Syazwan Tajudin (kiri) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. FOTO Aswadi Alias
Pemain T-Team, Ahmad Takhiyuddin (dua kanan) menanduk bola sambil diasak pemain Kedah, Muhammad Syazwan Tajudin (kiri) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. FOTO Aswadi Alias
Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Kedah merampas kedudukan sebagai pendahulu liga apabila menundukkan T-Team 2-0 pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Bagaimanapun, aksi hambar yang dipamerkan kedua-dua pasukan pada awal babak pertama membosankan kira-kira 2,000 penonton yang hadir.

Cubaan terbaik T-Team hadir pada minit ke-20 menerusi sepakan cantik penjaring terbanyak Farhod Tadjiev namun sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol lawan.

Skuad Kedah yang turun dengan misi memburu persada liga hampir di depan melalui pemain import dari Bosnia, Liridon Krasniqi yang merembat deras tetapi ditepis penjaga gol, Mohd Shahril Shaari pada minit ke-29.

The Titans yang sesekali mengasak juga hampir mencetak gol sulung perlawanan namun tolakan Farhod yang hanya berdepan dengan penjaga gagal menemui sasaran.

Bersambung babak kedua, pasukan Helang Merah tidak perlu menunggu lama apabila Sandro Da Silva Mendonca bijak menanduk masuk untuk gol pertama pelawat pada minit ke-46.

Tuan rumah yang memperolehi peluang keemasan pada minit ke-55 sekali lagi gagal menghasilkan jaringan biarpun Farhod hanya berdepanpenjaga gol.

Pada minit ke-60, kelekaan pertahanan tuan rumah terhukum menerusi penyerang pasukan pelawat, Muhamad Farhan Roslan yang merembat kencang untuk gol kedua Kedah.

Pada minit terakhir perlawanan Farhod diusung keluar akibat kecederaan selepas dirempuh keras pertahanan pelawat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 12:18 AM